Lembaga Tabung Haji.

KUALA LUMPUR – Tiada satu pun daripada 107 cawangan Tabung Haji (TH) di seluruh negara ditutup sebaliknya mengambil pendekatan baharu untuk memperluas capaian perkhidmatan melalui inisiatif Tabung Haji Gerak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, cawangan Tabung Haji (TH) yang mencatatkan transaksi sangat rendah tidak akan dihentikan operasinya secara mutlak.

Sebaliknya ia akan digantikan dengan kaunter bergerak yang lebih fleksibel dan mesra masyarakat.

“Tabung Haji Gerak ini adalah satu kaunter mudah alih yang akan bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain mengikut keperluan dan permintaan.

“Jadual pergerakan kaunter ini akan dimaklumkan menerusi media sosial dan laman sesawang rasmi TH untuk memudahkan orang ramai mengakses perkhidmatan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan oleh Datuk Seri Dr. Ismail Abd Muttalib (PN–Maran) berhubung dakwaan terdapat cawangan TH yang telah ditutup.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, langkah itu sejajar dengan perubahan corak penggunaan perkhidmatan oleh pendeposit yang kini semakin cenderung kepada kaedah digital.

“Setakat ini, lebih 80 peratus transaksi kewangan Tabung Haji dilaksanakan secara dalam talian dan elektronik mencerminkan peningkatan penggunaan platform digital yang menjimatkan masa dan memberikan kemudahan kepada 9.68 juta pendeposit TH,” tambahnya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 24 JULAI 2025.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai pelaksanaan sistem Saudi Visa Bio untuk permohonan visa haji dan umrah, yang kini menjadi syarat wajib oleh kerajaan Arab Saudi.

Katanya, walaupun terdapat segelintir jemaah haji menghadapi kesukaran mendaftar data biometrik melalui aplikasi itu, TH telah mengambil langkah proaktif untuk memudah cara penggunaan teknologi tersebut.

“Isu yang timbul berpunca daripada faktor teknikal seperti ketidakserasian peranti, kegagalan imbasan wajah atau cap jari, serta keperluan naik taraf sistem dari semasa ke semasa.

“Namun Malaysia harus berbangga kerana menjadi antara lapan negara pertama di dunia yang dipilih Arab Saudi bagi pelaksanaan perintis sistem ini bersama Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Kuwait, United Kingdom, Tunisia dan Maghribi,” katanya.

Untuk musim haji 1446H/2025M, TH telah menyediakan panduan lengkap di portal rasmi, termasuk langkah-langkah pendaftaran dan tip penggunaan Saudi Visa Bio.

“Penerangan juga diberikan semasa kursus asas haji di seluruh negara, selain maklumat penggunaan turut dimuatkan dalam surat tawaran haji.

“Bagi jemaah yang memerlukan bantuan lanjut, pusat khidmat pelanggan TH di ibu pejabat dan cawangan negeri bersedia untuk memberi sokongan teknikal,” jelasnya.– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast