Bangunan Istana Kehakiman di Putrajaya.

PUTRAJAYA – Seorang bekas kerani wanita dan dua sahabatnya kekal dipenjara 35 tahun atas kesalahan menculik dan membunuh seorang ahli perniagaan yang mayatnya dicampak ke laut dari Jambatan Kedua Pulau Pinang, 10 tahun lalu.

Keputusan itu ditentukan selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan akhir A. Malarvili, 33, J. Sunil Singh, 38, dan C. Kavin Mukilan, 31, terhadap sabitan dan hukuman tersebut.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman itu terhadap mereka.

Beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Hanipah Farikullah berpuas hati, mahkamah tertinggi negara tidak mempunyai sebab untuk mengganggu penemuan fakta yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi.

“Kami juga berpuas hati bahawa hakim bicara tidak melakukan apa-apa kesilapan dan tidak juga berlaku salah laksana keadilan dalam kes itu,” katanya.

Pada prosiding itu, panel berkenaan turut menolak rayuan balas pihak pendakwaan untuk mengembalikan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi ke atas ketiga-tiga perayu.

Pada 5 Mac tahun lalu, mereka terlepas daripada tali gantung selepas Mahkamah Rayuan menggantikan hukuman mati mandatori yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, kepada penjara 35 tahun bagi kesalahan membunuh Balveer Kaur, 68.

Sunil yang juga bekas pemandu mangsa serta Kavin turut dihukum sebat 12 kali kerana mereka berumur di bawah 50 tahun.

Ketiga-tiganya turut dijatuhi hukuman penjara 35 tahun lagi bagi kesalahan menculik untuk mendapatkan wang tebusan daripada keluarga Balveer. Sunil dan Kavin dijatuhi hukuman tambahan tiga sebatan.

Malarvili terselamat daripada hukuman sebat kerana undang-undang melarang hukuman sedemikian ke atas pesalah wanita.

Hukuman penjara diarahkan bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 15 Februari 2015 dan berkuat kuasa serentak.

Pada prosiding hari ini, peguam Amer Hamzah Arshad mewakili Sunil, Jasmine Cheong mewakili Malarvili, dan M. Visvanathan mewakili Kavin manakala Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya How May Ling dan Iznina Hanim Hashim mewakili pendakwaan.

Pada 27 Disember 2018, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati terhadap ketiga-tiga mereka kerana membunuh Balveer di Lebuhraya Utara-Selatan, Perak pada jam 11.02 malam, 13 Februari 2015.

Mereka disabitkan menutup mulut mangsa sehingga mati lemas dan kemudian membuang mayatnya ke dalam laut.

Mereka juga didapati bersalah kerana menculik dan mengurung mangsa secara salah untuk mendapatkan wang tebusan RM2 juta di tapak pembinaan di Sunway Pyramid, Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor, pada pukul 12 tengah hari dan pukul 5.53 petang, hari yang sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast