Sebuah kilang haram yang dipercayai menjalankan aktiviti pemprosesan sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) diserbu pihak berkuasa di Kulim, Kedah semalam.

KULIM – Sebuah kilang haram yang dipercayai menjalankan aktiviti pemprosesan sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) secara tidak sah diserbu dalam satu operasi bersepadu oleh pasukan penguat kuasa Mukim Bagan Sena, dekat sini semalam.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Perak, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata berkata, serbuan hasil risikan Cawangan Risik Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Hulu bersama Batalion 2 PGA Kulim dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah itu menemui pelbagai bahan dan peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan terbabit, termasuk bongkah-bongkah e-waste yang dimampatkan dan belum diproses.

Jelasnya, serbuan itu turut membawa kepada tangkapan empat lelaki berusia antara 36 hingga 45 tahun, masing-masing terdiri daripada seorang warga tempatan, seorang warga China dan dua warga Myanmar.

“Dalam serbuan itu kita merampas 50 tan bongkah e-waste, 30 tan sisa enapcemar, 20 tan aluminium serta beberapa longgokan sisa debu.

“Beberapa jentera berat dan mesin turut disita termasuk dua forklift, tiga buah buldozer, tiga mesin pelebur logam, dua mesin penggaul dan sebuah mesin penghancur sekali gus nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM21.2 juta.

“Selain itu, semakan lanjut mendapati dua warga Myanmar  itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, operasi ini dilaksanakan hasil risikan dan pemantauan rapi terhadap aktiviti kilang berkenaan yang dipercayai beroperasi tanpa sebarang lesen sah daripada pihak berkuasa.

“Kita juga sedang mengesan individu atau mana-mana sindiket yang dipercayai menjadi dalang kepada kegiatan pemprosesan sisa buangan terjadual secara tidak sah ini.

“Kesemua rampasan telah diserahkan kepada JAS Kedah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana menjalankan aktiviti tanpa lesen, Seksyen 34A dan 34B akta sama, serta Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast