KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) memperuntukkan sebanyak RM37 juta menerusi Cawangan Senggara Fasiliti bagi melaksankan Program Blackspot Fasa 1 dan 2 di seluruh negara pada tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM27.1 juta sudah dibelanjakan bagi 76 kerja penambaikan melibatkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, dan Kelantan.
“Sebanyak 76 bilangan kerja bagi Porgram Blackspot dan 33 bilangan kerja bagi Program Lintasan Pejalan Kaki Searas Berlampu Isyarat telah diluluskan setakat Julai ini.
“Kos nilai kontrak mungkin tidak besar namun impak kontrak atau kerja itu lebih besar kerana kita dapat menyelamatkan nyawa. Sebab itu kita laksana di Black Spot, tempat yang sering kemalangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Program Blackspot dan Penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Semenanjung Malaysia di sini, hari ini.
Tambah beliau, bagi pelaksanaan kesemua 109 bilagan kerja yang sudah diluluskan tahun ini, KKR telah mengeluarkan 99 Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor manakala bagi 10 bilangan kerja masih dalam proses perolehan dengan SST, beliau berkata ia dijangka dikeluarkan pada Ogos depan.
Nanta turut menyeru Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya terus melaksanakan program Blackspot yang perlu dibimbing dan dipantau secara konsisten termasuk komunikasi yang berkesan.
Katanya, ia adalah kunci kejayaan sesuatu projek bagi memastikan perlaksanaan itu berjalan lancar, menepati jadual serta memenuhi standard dan spesifikasi yang ditetapkan.
“Kontraktor bukan sahaja menyelenggara jalan tetapi mengurus kehidupan dan masa hadapan dengan menurunkan kadar kemalangan lebih-lebih lagi kemalangan maut,” katanya.
Beliau juga memaklumkan bahawa program Blackspot mampu mengurangkan kadar kemalangan di lokasi berisiko tinggi antara 25 hingga 60 peratus.
“Program ini terbukti berkesan apabila berjaya mencatatkan penurunan purata kadar kemalangan antara 25 peratus hingga 60 peratus sekali gus menyelamatkan nyawa dan harta, meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya secara signifikan,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















