KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mempertimbangkan untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pembelian ladang Estet Telupid di Beluran, Sabah pada 2022 melibatkan tanah seluas 767.8 hektar bernilai RM62.29 juta.
Ketua Portfolio Perladangan Dan Komoditi PN, Bakri Jamaluddin berkata, berdasarkan Laporan Kedua Audit Negara (LKAN), timbul kebimbangan kemungkinan berlaku pelanggaran prosedur serius yang menjurus kepada salah laku dan penyelewengan dalam pengurusan perolehan ladang sawit oleh Felcra Berhad.
Ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu berkata, kegagalan Felcra Berhad melantik perunding luar yang lebih bebas dan profesional dalam menilai pembelian itu dan hanya bergantung kepada penilaian oleh anak syarikatnya sendiri dilihat sebagai langkah tidak wajar.
Ini kerana, jelasnya, penilaian itu perlu dibuat oleh perunding yang benar-benar berkelayakan dan profesional memandangkan kajian yang dibuat buat oleh anak syarikat Felcra sendiri boleh menjurus kepada pengaruh pihak atasan dalam syarikat.
“Malah, pembelian itu tetap dibuat walau pun perunding dalaman yang merupakan anak syarikat Felcra Berhad itu telah mengklasifikasikan Estet Telupid sebagai ‘kurang berdaya maju’ di mana hanya 21 peratus sahaja tanah ladang tersebut dalam kategori ‘sesuai’, 64 peratus ‘sederhana sesuai’, sementara 13.7 peratus sebagai ‘tidak sesuai’ selain tanah sangat berbukit, berombak dan curam,” katanya dalam sidang di Parlimen, hari ini.
LKAN 2/2025 yang dibentangkan Isnin lalu menyatakan secara keseluruhannya, terdapat ketidakaturan yang serius dan kelemahan tatakelola dalam pelaksanaan perolehan ladang sawit oleh Felcra melibatkan proses perolehan, penilaian harga perolehan dan hasil sawit serta pematuhan kepada kontrak perjanjian.
Ia termasuk dalam proses perolehan ladang sawit Estet Telupid yang dibuat tanpa mematuhi keputusan mesyuarat sebelumnya, selain tiada pelantikan perunding luar dan bebas untuk melaksanakan kajian daya maju terhadap perolehan itu.
Sementara itu, Bakri mengingatkan, kecuaian akibat keputusan yang dibuat pihak pengurusan tertinggi syarikat milik kerajaan (GLC) yang menyebabkan kerugian kepada syarikat adalah sesuatu yang tidak boleh dinormalisasikan.
Tegas beliau, ia memandangkan syarikat itu dibiayai oleh wang rakyat dan sepatutnya memberikan hasil kepada rakyat, namun jika rugi, maka kerugian tersebut pula akan ditanggung rakyat.
“Kita tidak mahu bahawa persepsi menjadi kebiasaan pengurusan syarikat GLC bersikap ‘take for granted’ semata-mata kerana mereka sentiasa dijamin oleh kerajaan menyebabkan ia dipandang sebagai organisasi yang tidak berkualiti dan hanya menjadi tempat orang politik mengambil laba,” katanya. – MalaysiaGazette
















