KUALA LUMPUR – Pejabat Perdana Menteri (PMO) bersikap terbuka sekiranya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memerlukan taklimat ringkas yang terperinci berhubung beberapa pengumuman yang dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, langkah itu diambil agar Sanusi tidak lagi ‘senget’, ‘gelong’ dan tersasar dalam membuat ulasan, lebih-lebih lagi bila ia melibatkan fakta asas pengurusan kewangan negara.
“Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta segelintir pimpinan pembangkang boleh “memperlekeh” penurunan harga RON95 daripada RM2.05 ke RM1.99 dan bantuan RM100 secara one off kepada semua orang dewasa di Malaysia.
“Akan tetapi sekurang-kurangnya penjimatan kos RON95 dapat membantu serba sedikit meringankan beban rakyat. Dan perlu diingat, inilah buat pertama kalinya, semua rakyat tanpa mengira status sosial menerima “sesuatu” daripada Kerajaan sempena Bulan Kemerdekaan.
“Saya ingin mengambil sedikit masa untuk membantu Datuk Seri Sanusi memahami perbezaan antara “bantuan” dan “belanjawan” satu konsep asas pentadbiran yang barangkali sukar difahami beliau sepanjang menjadi Menteri Besar,” katanya pada taklimat harian PMO di Facebook hari ini.
Tunku Nashrul menjelaskan, semua inisiatif yang diumumkan semalam bukanlah sebahagian daripada Belanjawan 2026 kerana belanjawan pada tahun tersebut hanya boleh diguna pakai pada tahun berkenaan sahaja dan disebabkan itu namanya Belanjawan 2026.
“Manakala, kesemua penghargaan yang diumumkan semalam akan dilaksanakan tahun ini, bermula dengan SARA untuk semua pada 31 Ogos 2025,” katanya.
Tambah beliau, penghargaan khas itu diumumkan dengan mengambil kira keupayaan fiskal negara, dan sebagai tambahan kepada apa yang telah direncanakan di dalam Belanjawan 2025.
Katanya lagi, pengumuman semalam juga khusus untuk menangani beban kos sara hidup rakyat dalam masa terdekat dan bantuan serta inisiatif lain untuk tahun depan akan diumumkan semasa Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan Oktober ini.
“Sekiranya tiada gangguan daripada “belalang di tepi lautan” seperti Sanusi dan rakan-rakan, Insya Allah Kerajaan Madani akan berkongsikan lebih banyak kemakmuran kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Semalam, media melaporkan, Sanusi dipetik berkata, pengumuman yang dibuat Anwar berhubung bantuan tunai dan penurunan harga minyak tidak akan menjejaskan perancangan rakyat untuk menghadiri Himpunan Turun Anwar yang dijadualkan Sabtu ini.
Katanya, pengumuman tersebut hanya dibuat bagi meredakan suhu panas politik selain bertujuan mengelak rakyat turun berhimpun.
Menurutnya, biarpun pengumuman tersebut bersifat positif namun, ia tidak akan menghalang rakyat untuk berhimpun menyatakan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan Madani. – MalaysiaGazette
















