Orang ramai berada di tapak runtuhan Sekolah Rendah Piplodi. foto media sosial

JAIPUR – Sebahagian bumbung dan dinding sekolah kerajaan runtuh di barat India, membunuh sekurang-kurangnya tujuh kanak-kanak dan mencederakan 26 yang lain pada hari Jumaat.

Dua lagi dilaporkan kritikal.

Difahamkan bangunan sekolah itu berusia sekitar 20 tahun dan mempunyai bumbung  diperbuat daripada batu berat, yang meningkatkan kesan runtuhan itu.

Mangsa adalah pelajar Kelas 7, berumur antara 12 dan 14 tahun.

Polis berkata, struktur itu runtuh apabila pelajar menghadiri kelas pada awal pagi Jumaat di daerah Jhalawar negeri Rajasthan, sekitar 322 kilometer (200 batu) di selatan ibu negeri Jaipur.

Kira-kira 60 pelajar, guru dan kakitangan berada di bangunan satu tingkat itu ketika kemalangan itu berlaku.

“Tujuh kanak-kanak maut setakat ini dan 26 yang lain cedera,” Nand Kishore, seorang pegawai polis tempatan.

Penduduk kampung bergegas ke lokasi dan menyelamatkan ramai kanak-kanak yang cedera yang dibawa ke kemudahan perubatan.

Media tempatan melaporkan, hujan lebat di kawasan itu sejak beberapa hari lalu.

Isu bangunan sekolah yang usang itu pernah dibangkitkan oleh orang ramai sebelum ini, lapor media tempatan.

“Kejadian mengejutkan ini berlaku kerana kecuaian pihak pentadbiran,” kata Balkishan, seorang penduduk yang tinggal berdekatan dengan sekolah itu.

Balkishan berkata, dia sedang duduk di tepi jalan berhampiran sekolah apabila terdengar bunyi yang kuat.

“Apabila saya berpatah balik dan melihat, sebahagian daripada bangunan itu telah runtuh dan kanak-kanak menjerit,” katanya.

“(Kami) bergegas ke bangunan dan mula mengalihkan papak dan batu untuk menyelamatkan kanak-kanak itu,” katanya sambil menambah, ramai kanak-kanak menangis ketika orang ramai cuba menarik mereka keluar dari runtuhan.

Menteri Pendidikan negeri Rajasthan, Madan Dilawar berkata, siasatan terhadap kejadian tersebut sedang dijalankan.

“Saya akan mendapatkan siasatan peringkat tinggi hari ini untuk mengetahui mengapa kejadian ini berlaku,” kata Dilawar dalam satu kenyataan. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast