Bangunan Bursa Malaysia Berhad di Bukit Kewangan, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 08 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia Bhd diiktiraf sebagai satu daripada 50 Syarikat Senaraian Awam (PLC) terbaik di ASEAN dan antara lima PLC terbaik di Malaysia pada Anugerah Tadbir Urus Korporat ASEAN yang diadakan semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Fad’l Mohamed berkata, pengiktirafan ini mencerminkan kepimpinan bursa yang berterusan dan komitmennya dalam mengekalkan piawaian tertinggi dari segi tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti.

“Tadbir urus korporat yang kukuh menjadi asas kepada pasaran modal yang berdaya tahan dan dipercayai. Bursa Malaysia menekankan kecemerlangan tadbir urus – dalam bursa dan seluruh ekosistem – sebagai asas utama kepada keyakinan pelabur dan pertumbuhan ekonomi mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anjuran badan penarafan domestik Malaysia, Minority Shareholders Watch Group, Anugerah Tadbir Urus Korporat ASEAN mengiktiraf PLC ASEAN yang menunjukkan kecemerlangan dalam tadbir urus berdasarkan Penilaian Serantau Kad Skor Tadbir Urus Korporat ASEAN (ACGS) 2024 yang ketat.

Acara itu dirasmikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dibangunkan dengan kerjasama Bank Pembangunan Asia, ACGS merupakan inisiatif serantau yang dijalankan setiap dua tahun di bawah Forum Pasaran Modal ASEAN bagi menilai, menambah baik dan menggalakkan tadbir urus korporat dalam kalangan PLC di enam negara ASEAN yang mengambil bahagian.

Ia mengiktiraf PLC yang mencatat prestasi tinggi serta mempunyai rangka kerja dan amalan tadbir urus kukuh selaras dengan piawaian antarabangsa, memberi tumpuan kepada ketelusan, akauntabiliti dan keberkesanan lembaga pengarah, selain menyumbang kepada pertumbuhan dan tarikan rantau ASEAN kepada pelabur. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast