Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Cucu perempuan Tun Dr. Mahathir Mohamad kerugian kira-kira RM1.8 juta selepas kediamannya yang terletak di Bukit Ledang, dekat sini diceroboh oleh individu yang belum dikenal pasti.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan mengesahkan barang kemas yang hilang itu disimpan dalam bilik mangsa, yang berusia 29 tahun.

Kejadian kecurian itu dimaklumkan oleh pembantu rumah Filipina yang memberitahu  kunci mangga pintu pagar bahagian belakang kediamannya telah dipotong dan bilik tidur pengadu telah dimasuki pencuri.

“Pengadu membuat pemeriksaan lanjut mendapati barang kemas berjenama mewah milik pengadu dianggarkan sebanyak RM1.8 juta telah lesap.

“Pihak Forensik IPK Kuala Lumpur bersama lima pegawai dan anggota telah tiba di lokasi kejadian dan hasil ujian dusting di dalam bilik tidur berjaya menimbulkan tiga cap jari.

“Satu kunci mangga jenama Solex yang telah dipotong dari pintu pagar bahagian belakang rumah tersebut telah diambil untuk tindakan lanjut siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Namun, unit anjing pengesan yang dibawa ke tempat kejadian tidak dapat mengesan sebarang jejak suspek.

Pengadu tinggal di rumah milik bapanya berkeluasan 1.5 ekar dan mempunyai kawalan keselamatan 24 jam.

Kediaman tersebut mempunyai 16 unit kamera litar tertutup (CCTV) namun kesemuanya tidak mempunyai rakaman kerana ia secara langsung sahaja.

Pihak polis kini menyemak CCTV rumah jiran pengadu sedang dibuat semakan untuk mengenalpasti suspek yang terlibat.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan perkembangan kes akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast