- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC)

KUALA LUMPUR – Pegawai Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) gagal memberikan maklum balas terhadap permohonan pelepasan barang sitaan serta lewat dalam melengkapkan kertas siasatan.

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang mengesahkan perkara itu berkata pihaknya menerima aduan terhadap pegawai CKAPS KKM Putrajaya dan Melaka.

Katanya, siasatan telah dijalankan berdasarkan peruntukan subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

“Hasil siasatan mendapati pegawai CKAPS Putrajaya gagal memberikan sebarang maklum balas terhadap permohonan pelepasan barang sitaan yang dikemukakan oleh pengadu.

Siasatan turut mengenal pasti kelewatan oleh Pegawai Penyiasat CKAPS Melaka dalam melengkapkan kertas siasatan selaras dengan Prosedur Operasi Piawai Penyiasatan Kes ke atas Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan,” kata suruhanjaya itu menerusi kenyataan.

Jelasnya, kelewatan tersebut menjejaskan kelancaran proses siasatan dan mengakibatkan siasatan terpaksa mengambil masa yang tidak munasabah untuk diselesaikan.

Susulan itu katanya, EAIC membuat keputusan untuk merujuk hasil siasatan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib CKAPS KKM.

Dalam masa yang sama, suruhanjaya itu mengesyorkan supaya hukuman tatatertib dikenakan terhadap pegawai yang terlibat di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Ia ekoran pegawai berkenaan kurang cekap atau kurang berusaha sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan 4(2)(e) peraturan yang sama.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast