KUALA LUMPUR – Himpunan Turun Anwar yang dirancang pembangkang esok bukan atas dasar perjuangan untuk rakyat, sebaliknya semata-mata politik dendam terhadap seorang individu iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Tenggara, Fakharuddin Moslim berkata, sedangkan ujar beliau, Anwar diangkat sebagai Perdana Menteri menerusi sokongan majoriti Ahli Parlimen selepas Pillihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), bukannya melalui pintu belakang.
Tambahnya, pembangkang juga tidak mempunyai cukup jumlah untuk mengusulkan undi tidak percaya terhadap Anwar di Parlimen, sekali gus menunjukkan himpunan yang dirancang hanyalah retorik politik untuk kekal relevan.
Sehubungan itu, ujar beliau, serangan terhadap Anwar menerusi himpunan tersebut disifatkan cubaan mengganggu kestabilan politik, keyakinan pelabur dan pemulihan ekonomi yang sedang giat dipacu Kerajaan Madani selepas kemelut politik antara tahun 2020 hingga 2022.
“Kerajaan ini bukan milik Anwar Ibrahim seorang, ini kerajaan bersama, hasil gabungan pelbagai parti dan latar ideologi.
“Semua dasar dan keputusan dibuat secara kolektif oleh Jemaah Menteri.
“Maka, serangan hanya terhadap Anwar secara individu, bukan kerajaan keseluruhan, membuktikan bahawa kerajaan ini berfungsi secara sistematik dan berkesan – serta serangan itu tidak lebih daripada dendam politik semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai rancangan Pas mengadakan Himpunan Turun Anwar di sekitar ibu negara esok, sebagai manifestasi menolak kepimpinan Anwar yang disifatkan gagal mentadbir negara.
Sementara itu, Fakharuddin berkata, majoriti rakyat tidak mahu demonstrasi jalanan dijadikan alat untuk merebut kuasa politik.
Sebaliknya, menurut beliau, rakyat mahukan penyelesaian terhadap kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan dan kestabilan ekonomi.
“Bukannya provokasi yang boleh menggugat keamanan hanya kerana mereka tidak mampu terima kenyataan telah ditolak rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















