KUALA LUMPUR – Hanya 40% responden beranggapan Malaysia sedang berada di landasan yang betul berbanding 54% pada bulan Disember 2024, menurut kajian tinjauan pendapat umum Institut Masa Depan Malaysia.
Kajian ini turut mendapati kos sara hidup merupakan isu yang paling membimbangkan rakyat dengan tahap kebimbangan rakyat terhadap isu ini telah meningkat kepada 53% berbanding 48% pada bulan Disember 2024.
Manakala sentimen responden terhadap prestasi ekonomi negara juga negatif dengan hanya 37% menyatakan mereka berpuas hati dengan pencapaian ekonomi negara berbanding 57% pada bulan Disember 2024.
Dari segi pendapatan peribadi, hanya 34% responden menyatakan pendapatan mereka adalah baik berbanding 52% pada bulan Disember 2024.
Kajian ini dijalankan pada 14 Jun hingga 19 Julai 2025, melibatkan 1,605 responden berumur 18 tahun ke atas di Semenanjung Malaysia.
Mengenai cadangan rasionalisasi subsidi RON95, hanya 34% responden menyokong pelaksanaannya manakala 51% tidak bersetuju.
Antara sebab utama cadangan ini tidak mendapat sokongan responden ialah ia akan menjejaskan taraf kehidupan (32%), tidak yakin dengan keupayaan atau mekanisme pelaksanaan kerajaan (11%), kurang penjelasan dari pihak kerajaan (7%) dan kerajaan terburu-buru untuk melaksanakannya (4%).
Dari segi prestasi kerajaan, hanya 41% responden berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Madani, berbanding 56% pada bulan Disember 2024.
Kajian ini juga mendapati tahap kepuasan hati responden terhadap prestasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menurun kepada 33% berbanding 57% pada bulan Disember 2024.
Sementara itu, 41% responden berpuas hati dengan prestasi Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Perikatan Nasional manakala Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Barisan Nasional (15%) dan Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ketua Pembangkang (16%).
Untuk calon Perdana Menteri dalam PRU-16, 33% responden memilih Muhyiddin Yassin, Anwar Ibrahim (25%), Zahid Hamidi (14%) dan Hamzah Zainudin (13%).
Menurut institut itu, sentimen negatif semasa responden terhadap prestasi ekonomi, politik dan pentadbiran negara sebahagian besarnya dipengaruhi oleh pelaksanaan beberapa dasar baharu oleh kerajaan seperti peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST), kenaikan tariff elektrik, rasionalisasi subsidi dan isu kos sara hidup yang dilihat masih membebankan rakyat. – MalaysiaGazette















