Majlis penyampaian plak penganugerahan ini daripada Cadence Amerika Syarikat yang disampaikan oleh wakil mereka, Pengurus Akaun Cadence Singapura, Esther Goh yang diadakan semalam.

 

MELAKA – Makmal Mikro & Nano Elektronik (MiNE) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mencipta sejarah sebagai makmal pertama di dalam negara yang menerima penganugerahan Makmal Bertauliah Cadence untuk Pensijilan Rekabentuk Litar Bersepadu (IC DESIGN) dengan Teknologi Virtuoso daripada Cadence Amerika Syarikat.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, pencapaian ini telah meletakkan UTeM pada kedudukan pertama dalam negara dan terus menyerlah di pentas teknologi semasa berpermintaan tinggi dunia.

Jelasnya, kejayaan ini mencerminkan bahawa UTeM adalah sentiasa seiringan dengan pemacuan teknologi semasa dunia terutamanya dalam konteks teknologi Virtuso dalam penyediaan perisian dan perkakasan untuk mereka bentuk litar bersepadu (IC), System on Chip (SOC) dan papan litar bercetak.

Ujarnya, Virtuoso Cadence dianggap sebagai standard industri utama dunia untuk reka bentuk IC kerana keupayaan canggih dan ciri komprehensif yang dimilikinya
yang mana pada masa yang sama ia memegang hampir 60 peratus pasaran untuk custom layout dalam mereka bentuk analog IC.

“Sementara itu, perisian Virtuoso Cadence merupakan salah satu perisian utama yang digunakan dalam industri reka bentuk litar bersepadu yang terus mendapat
permintaan yang tinggi,” ujarnya.

Menyentuh tentang Pensijilan Rekabentuk Litar Bersepadu (IC DESIGN) ini, Massila berkata, ini merupakan peluang keemasan kepada pelajar UTeM yang mengikuti
program ini kerana mereka akan dilengkapkan dengan pengetahuan dan kemahiran praktikal melalui modul latihan dan peperiksaan lencana (badge exams) yang
diiktiraf oleh Cadence.

“Ganjaran hebat buat mereka kerana ia menjadi tarikan utama dalam konteks menyuntik kebolehpasaran tinggi graduan serta memberikan kelebihan daya saing dalam pasaran kerja, khususnya dalam industri semikonduktor dan elektronik peringkat global,” katanya.

Massila berkata, pengurusan dan pengendalian makmal MiNE, Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektronik dan Komputer (FTKEK) ini dikendalikan oleh tiga orang
tenaga pakar yang telah berjaya ditauliahkan sebagai Jurulatih Bertauliah Cadence.

Mengulas lanjut tentang pencapaian ini beliau berkata, pencapaian ini adalah selari dengan Pelan Strategik UTeM 2023-2025 pada teras 2 yang memfokuskan kepada
menyediakan tenaga kerja tersedia industri.

“Pada masa yang sama ia turut mencapai Fokus 1 Penyediaan Bakat Terbaik Negara yang digariskan pada 7 Fokus Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2025 dan turut mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dunia menerusi SDG 4 yang menyentuh kepada Pendidikan Berkualiti,” ujarnya sewaktu majlis penyampaian plak penganugerahan ini daripada Cadence Amerika Syarikat yang disampaikan oleh Pengurus Akaun Cadence Singapura, Esther Goh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast