KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru orang ramai menyertai Himpunan Turun Anwar esok, bagi menunjukkan sikap terhadap kegagalan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, Anwar bukan sahaja gagal mengurus negara dengan baik, malah memungkiri janji-janjinya kepada rakyat.
Dakwanya, selain isu beban kos sara hidup rakyat gagal yang ditangani, banyak cukai baharu diperkenalkan oleh kerajaan, manakala subsidi dipotong, sekali gus menambah beban rakyat.
Dalam masa sama, ujarnya, janji tatakelola yang baik dan jaminan hak kebebasan rakyat untuk bersuara juga dicabuli oleh kerajaan hari ini.
“Semakin ramai rakyat biasa yang diugut, disiasat dan didakwa hanya kerana menyatakan bangkangan mereka terhadap dasar dan tindakan kerajaan.
“Ini menimbulkan kemarahan dan kebencian rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pembangkang merancang mengadakan Himpunan Turun Anwar di sekitar ibu negara esok, dengan sasaran penyertaan seramai 300,000 orang sebagai manifestasi rasa kecewa terhadap kepimpinan Anwar dan Kerajaan Madani yang disifatkan gagal mentadbir negara.
Sementara itu, Muhyiddin menyifatkan tindakan Anwar mengumumkan bantuan one-off RM100 dan penurunan harga petrol RON95 sebanyak enam sen sebagai langkah terdesak untuk mengekang perasaan tidak puas hati rakyat.
Sedangkan, ujar beliau, pengumuman itu bukan tindakan yang betul untuk menangani masalah kos bebanan kos sara hidup.
“Yang rakyat mahukan ialah kerajaan mengkaji semula pengenaan pelbagai bentuk cukai dan pemotongan subsidi yang membebankan mereka. Ini tidak dilakukan.
“Banyak wang yang dipungut dari rakyat, yang dipulangkan hanyalah sedikit. Ia sudah terlambat,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin turut memohon polis supaya menjaga keamanan dan ketenteraman sepanjang perhimpunan berlangsung esok.
Dalam masa sama, beliau meminta peserta perhimpunan menjaga adab dan tatasusila serta patuh kepada undang-undang, selain tidak mencetuskan sebarang provokasi yang mengganggu ketenteraman awam.
“Ingat, menyertai perhimpunan aman adalah hak setiap rakyat Malaysia yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Tidak ada sesiapapun yang boleh menghalangnya.
“Justeru, jaga dan peliharalah hak ini dengan sebaik-baiknya,” katanya. – MalaysiaGazette

















Alahaaaaiiiiu macam lah rakyat dah lupa zaman ko..lagi menderita sampai kibar bendera putih! Lepas tu kau sakau plak duit rakyat dgn bagi kat menantu…mcm hanat
like