PORT DICKSON – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan menyahut seruan kerajaan untuk sama-sama berusaha membantu menoktahkan kemiskinan tegar dalam kalangan penduduk Negeri Sembilan dengan menganjurkan program khidmat masyarakat iaitu MyMobile Spa yang dijalankan di kalangan kaum wanita B40 dan Asnaf dari penduduk Lukut.
Menurut pengarah program, Dr Asiah Ali, program ini memberikan pendedahan kepada peserta untuk mempelajari asas-asas perniagaan mobile spa iaitu perniagaan yang menawarkan perkhidmatan servis rawatan muka dan spa dari rumah ke rumah.
“Melalui program ini, peserta bukan sahaja belajar servis rawatan muka, kami juga mengajar mereka teknik-teknik pemasaran untuk menjana pendapatan melalui servis yang ditawarkan.
“Selain itu, melalui program ini peserta juga diberikan pendedahan untuk tidak bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata, tetapi mempunyai alternatif lain dalam menaikkan taraf ekonomi hidup mereka dan keluarga,” katanya.
Peserta program, Zellada Zulkifli, 30, berkata, penganjuran program ini dapat membantu terutamanya suri rumah untuk lebih berkeyakinan dalam menceburi bidang perniagaan seterusnya membantu mereka menjana pendapat sendiri.
Program MyMobile SPA di anjurkan oleh unit Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) UiTM Cawangan Negeri Sembilan dengan Kerjasama Pertubuhan Kebajikan Ikhlas Al-Mawaddah (MYKASIHCARE) yang melibatkan 30 peserta wanita sekitar daerah Port Dickson. – MalaysiaGazette
















