Firzan Hakimi

KUALA LUMPUR – Teguran Datuk Seri Rafizi Ramli agar kerajaan memberi perhatian serius isu kontroversi membabitkan Datuk Farhash Wafa Salvador bagi mengelakkan ia menjadi beban besar kepada pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim ditempelak oleh Ketua
Angkatan Muda Keadilan Bukit Bintang.

Firzan Hakimi mendakwa, bekas Menteri Ekonomi itu diam seribu bahasa semasa dalam kerajaan walaupun isu yang dibangkitkan sudah lama wujud.

Menurutnya, selepas tiada lagi jawatan dalam kerajaan, Rafizi berlagak seolah-olah reformasi musnah hanya kerana kerusi menteri itu tidak lagi diduduki.

“Bila perjuangan bergantung kepada jawatan, itu bukan reformasi, itu nostalgia kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tangani isu Farhash, elak jadi beban lebih besar kepada kerajaan – Rafizi

Menurut beliau, Parti Keadilan Rakyat tidak dibina atas ego individu, sebaliknya atas nilai, justeru meminta anak muda jangan terperangkap dengan drama dan kecewa peribadi.

“Politik bukan tempat pujuk hati bila tak dapat apa kita mahu. Kita tak perlukan reformis bermusim. Kita perlukan reformis sejati,” katanya sambil berharap seluruh pimpinan dan anggota parti untuk berdiri teguh mempertahankan prinsip keadilan dan integrity.

Pada masa sama, memberi ruang kepada institusi undang-undang melaksanakan tugas mereka tanpa gangguan bersifat persepsi atau politik dalaman.

Firzan berkata, sekiranya terdapat bukti kukuh terhadap mana-mana individu termasuk Farhash, biarlah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjalankan tugasnya secara bebas, tanpa campur tangan atau desakan yang boleh menjejaskan prinsip rule of law yang diperjuangkan sejak awal lagi.

“Persepsi tidak boleh mendahului prinsip keadilan. Sangat tidak adil untuk meletakkan beban kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) sepenuhnya ke atas perdana menteri semata-mata kerana isu membabitkan individu tertentu yang belum pun dibuktikan bersalah.

“Indeks CPI bukan hanya mencerminkan kerja kerajaan, tetapi juga persepsi awam yang turut dipengaruhi oleh serangan politik, laporan
media dan kenyataan-kenyataan bercorak spekulatif,” ujarnya.

Menurut beliau, seluruh pimpinan dan anggota parti perlu fokus meningkatkan keupayaan, bukan menyuburkan skeptisisme.

Katanya, rakyat sedang menilai bukan hanya siapa yang bersih, tetapi siapa yang bekerja keras untuk mereka.

“Jangan pula kita sibuk membakar persepsi terhadap individu tertentu yang tidak pun memegang jawatan awam,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast