KUALA LUMPUR – Persidangan Hartanah ASEAN (AREC 2025) yang berlangsung selama empat hari di ibu negara membuka lembaran baharu dalam landskap pembangunan hartanah serantau dengan menghimpunkan ribuan pengunjung dan penyertaan global dari lebih 110 negara.
Inisiatif utama yang diterajui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sempena pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, AREC 2025 membawa tema “Transformasi Hartanah: Memacu Inovasi, Mengukuh Integrasi, Mencipta Impak”.
AREC yang bermula pada 23 Julai mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang menyeru semua pihak industri memanfaatkan platform berprestij itu dalam menampilkan inovasi serta memperkukuh kolaborasi strategik rentas negara.
Dalam ucapan perasmian, Fadillah berkata, AREC dan Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Bangunan (ARCHIDEX) 2025 memacu dialog dasar peringkat tinggi dan pandangan strategik daripada menteri perumahan, pemimpin bandar dan pemaju.

Manakala ARCHIDEX yang merupakan pameran terkemuka Asia, menjadi pelengkap kepada persidangan itu dengan menonjolkan produk, bahan dan penyelesaian termaju untuk seni bina dan persekitaran binaan.
“ARCHIDEX menarik lebih 56,000 pelawat dari lebih 110 negara, menyediakan AREC platform antarabangsa yang berpengaruh untuk meningkatkan agenda hartanah dan perumahan ASEAN kepada khalayak global.
“Akhirnya, matlamat kami adalah untuk menyokong pembangunan dan penerbitan strategi praktikal, boleh diambil tindakan dan berimpak yang mencerminkan konteks sosial, ekonomi serta alam sekitar yang unik dalam landskap perumahan ASEAN,” katanya.

Sementara itu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menegaskan bahawa ASEAN mesti menerajui pembaharuan sektor hartanah dalam keadaan ketidaktentuan geoekonomi, anjakan struktur dan pembandaran pesat.
Beliau menyorot keadaan rantau ini yang sedang berdepan cabaran hebat termasuk gangguan rantaian bekalan, turun naik mata wang dan lonjakan permintaan untuk perumahan bandar yang pastinya berkait rapat dengan agenda membina masa depan.
“Kita kini berada pada era hartanah bukan lagi hanya mengenai bangunan tetapi mengenai membina masa depan, iaitu setiap rakyat, dari Kuala Lumpur ke luar bandar Kemboja, bukan sahaja mencari tempat tinggal tetapi juga penghormatan dan peluang,” katanya.
Memetik data Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (UN ESCAP), beliau berkata, penduduk bandar ASEAN diunjurkan meningkat sebanyak 90 juta menjelang 2030 justeru memerlukan pembinaan 10 hingga 12 juta unit rumah baharu setiap tahun.

Bagi memastikan kelangsungan sektor berkenaan, Kor Ming mencadangkan pembangunan model perumahan ASEAN yang fleksibel yang dibina berdasarkan tiga prinsip teras iaitu perancangan dipacu data, perkongsian awam-swasta-rakyat yang kukuh dan penyelesaian mengikut konteks sensitif yang disesuaikan dengan realiti tempatan setiap negara anggota.
AREC yang turut menyenaraikan padanan perniagaan dalam agendanya menyaksikan para pemain industri merebut peluang untuk duduk semeja bertukar-tukar fikiran dan mencari ruang melebarkan perniagaan dalam kalangan peserta terutama di rantau ASEAN.
Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Ir Ho Hon Sang ketika ditemui MalaysiaGazette menyifatkan penganjuran AREC terutamanya slot padanan perniagaan membuka peluang kepada pemain industri untuk bersemuka berbincang tentang agenda masa depan sektor hartanah.

Katanya, pertemuan itu bukan saja membawa manfaat kepada negara peserta malah kesannya melimpah kepada kebangkitan ekonomi serantau.
Beliau turut melihat penganjuran forum sempena AREC 2025 sebagai langkah sinergi untuk para peserta dari setiap negara berkongi pengalaman masing-masing dalam sektor hartanah dan bertukar-tukar pandangan demi masa depan rantau.
Sementara itu, Pakar Ekonomi ASEAN, United Overseas Bank, Indonesia, Enrico Tanuwidjaja melihat penganjuran AREC 2025 sebagai inisiatif yang perlu direbut untuk meninjau pasaran hartanah yang berpotensi tinggi di Malaysia.

Beliau yang memuji insiatif diterajui KPKT ini juga mahu mencipta kolaborasi yang lebih banyak antara Malaysia dan Indonesia menerusi platform AREC 2025.
“Tentunya penganjuran AREC 2025 ini bagus untuk sektor bisnes kerana negara-negara lain khususnya Indonesia dapat meninjau pasaran yang berpotensi di Malaysia. Saya tidak sabar untuk melihat jalinan kolaborasi antara Malaysia dan Indonesia,” katanya.
Bagi Nurul Alya Athirah Khairul Anwar, kunjungannya ke ARCHIDEX adalah untuk melihat secara lebih dekat teknologi baharu dalam industri pembinaan.
Terlibat dalam bidang pembinaan, Nurul Alya juga berminat untuk mendalami pengetahuan tentang bahan-bahan binaan yang terkini digunakan dalam industri.

“Saya akan bawa ilmu yang saya peroleh di ARCHIDEX ini ke tempat saya bekerja supaya dapat dilakukan penambahbaikan,” katanya yang gembira dengan penganjuran pameran hartanah membabitkan penyertaan pelbagai negara.
Seorang lagi pengunjung, Navines Rao berkata, ARCIDEX memberi peluang kepada penuntut dan pereka dalaman mencambah idea baharu bagaimana untuk merekacipta ruang yang lebih berfungsi.
Ketua Pegawai Eksekutif IJM Land Berhad, Datuk Tony Ling Thou Lung yang teruja dengan penganjuran AREC 2025 pulaberkata, pelbagai peluang dan maklumat dapat diraih oleh pembekal bahan binaan, arkitek, penuntut university dan mereka yang berminat dalam bidang harta dan seni bina.

Katanya, menerusi AREC 2025 pemaju dapat mempamerkan produk-produk mereka, begitu juga dengan syarikat-syarikat berkaitan yamenawarkan kepelbagaian perkhidmatan sepanjang berlangsungnya AREC dan ARCHIDEX.
“Kita lihat inisiatif ini memberi idea baharu kepada semua pihak yang terlibat dan ia menjurug kepada pembangunan lebih baik untuk Malaysia,” katanya.
Gabungan AREC dan ARCHIDEX 2025 bukan sahaja menjadi pemangkin pertumbuhan hartanah serantau, tetapi juga memperkukuh Malaysia sebagai pusat rujukan kepakaran bandar pintar, kelestarian dan inovasi perumahan di ASEAN.
Hari ini AREC melabuhkan tirai namun legasi serta impaknya terhadap landskap pembangunan hartanah dan perbandaran mampan akan terus bergema di peringkat serantau untuk tahun-tahun mendatang. – MalaysiaGazette
















