Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan hadiah Johan bagi kategori Bahasa Melayu kepada pelajar Sekolah Agama Persekutuan Kajang pada Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 tahun 2025 di PICC, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 JULAI 2025

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa kagum dengan kemampuann peserta Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 2025 yang mampu berbahas dengan fasih, berani dan bijak mengolah.

Perdana Menteri berkata, apa yang diitonjolkan peserta dalam kalangan pelajar sekolah menengah itu sepatutnya dicontohi oleh Ahli Parlimen untuk berhujah secara berhemah di Parlimen.

“Saya bangga sekali akan tahap perbahasan dan saya renung sekejap, apa salahnya Ahli Parlimen belajar iaitu pertama kalau nak berbahas kena kuasai ilmu, hadam, olah dan sampaikan.

“Anak-anak ini tunjuk tahap perbahasan hebat dan saya tabik. Perdebatan ini bukan sekadar kepintaran berbicara, tetapi juga keupayaan untuk menguasai, menelaah, menghadam dan melontarkan. Sebab itu saya rasa perkara itu yang perlu dipelajari oleh ahli Parlimen,” katanya

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 Tahun 2025 di  Dewan Plenari, Pusat Konvenseyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Gelagat seorang pelajar ketika membahas pada Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 Tahun 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 Julai 2025

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memuji generasi pelajar kini yang menunjukkan penguasaan Bahasa Melayu yang tinggi serta berbahas dengan penuh ilmu dan kefahaman.

Kata Perdana Menteri, ini menunjukkan budaya berbahas atau berdebat boleh dilakukan secara beradab dan sopan tanpa perlu menghina atau memaki hamun apatah lagi di Dewan Rakyat.

Sementara itu,  Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 tahun 2025 kini sampai ke kemuncak, dengan empat pasukan terbaik akan berentap pada peringkat akhir bagi kategori Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Bagi kategori Bahasa Melayu, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang mengekalkan takhta edisi lepas selepas menewaskan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Sabak Bernam.

Kategori Bahasa Inggeris menyaksikan Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya muncul johan mengenepikan cabaran Sekolah Menengah Sains Muar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan pelajar pada Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 Tahun 2025, turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di PICC, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 Julai 2025

Selain Anugerah Pembahas Terbaik, bermula tahun ini empat anugerah baharu diperkenalkan iaitu Anugerah Permata Bahas dan Anugerah Tunas Bahas bagi kategori Bahasa Melayu, serta Aspiring Team Award dan Eloquence Award bagi kategori Bahasa Inggeris.

Ia sebahagian daripada usaha berterusan KPM untuk membangunkan bakat murid dalam pertandingan ini.

Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 Tahun 2025 turut mendapat tajaan hadiah daripada Malaysia Energy Literacy Program (MELP) yang merupakan program literasi tenaga peringkat Kebangsaan yang diterajui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Menurut kenyataan, pertandingan tersebut merupakan wadah intelektual mengasah kemahiran bahasa dan pemikiran kritis, serta membentuk karakter murid selaras dengan nilai Malaysia Madani. – MalaysiaGazette

Gelagat pelajar memegang plakad ketika memberi sorakan pada Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 Tahun 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 Julai 2025

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast