Dua remaja maut kemalangan dengan lori di Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Dua remaja lelaki maut selepas motosikal masing-masing melanggar lori di Kilometer 60.5 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, di sini, hari ini.

Kejadian pukul 1.24 pagi itu mengorbankan Muhammad Aisy Iqbal Hairolazuan, 18, dan Muhammad Aiman Farhan Halim, 19 di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, insiden tersebut dimaklumkan orang awam kepada pihak polis.

Menurutnya, kemalangan melibatkan dua buah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang kedua-dua mangsa dengan sebuah lori yang belum dikenal pasti.

“Mangsa yang menunggang motosikal secara berasingan disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kedua-dua motosikal didapati melanggar belakang sebuah lori. Kes masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan bedah siasat.

Menurut Yusof, pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan tersebut masih belum dikesan dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Fairuz Abd Malek 012-7415886,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun, serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Pesalah juga boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tidak kurang lima tahun.

Polis turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast