Exco Pemuda Amanah, Dr Mohamed Nashrudin Naharudin.

KUALA LUMPUR – Exco Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Dr Mohamed Nashrudin Naharudin menyifatkan Himpunan Turun Anwar yang akan berlangsung petang ini tidak mempunyai objektif yang jelas.

Ini kerana, ujar beliau, sehingga kini, pembangkang tidak menjawab persoalan utama mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu turun atau meletakkan jawatan seperti mana objektif himpunan tersebut.

Katanya, ia berbeza dengan siri-siri himpunan sebelum ini yang dianjurkan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang jelas mahu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang didakwa korup ketika itu.

“Tidak seperti siri-siri perhimpunan Bersih yang jelas nak tumbangkan BN yang korup ketika itu (dan saya nak beri amaran, sebahagian BN masih begitu sekarang). Himpunan Bersih jelas objektifnya.

“Malah himpunan Bersih itu disokong oleh ratusan NGO bukan politik. Terlihat tidak begitu punyai angenda politik semata-mata,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, katanya, beliau juga yakin Menteri Besar Kelantan, Terengganu dan Kedah akan `malu alah’ sekiranya turut menyertai himpunan hari ini.

Ini kerana, ujarnya, Menteri Besar berkenaan akan bersama-sama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sebelum ini didakwa pernah menyekat peruntukan kepada negeri mereka.

“Tapi yang nak dilaungkan pula Turun Anwar, yang banyak beri bantuan.

“Kalau saya jadi mereka, saya akan rasa tersepit dan akan laung ‘turun anwar’ tu sambil serkup beg kertas katup muka,” katanya.

Tambah beliau, himpunan Turun Anwar kelihatan terlalu politikal apabila penganjurannya tidak disokong dan disanggah oleh banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Percayalah. Perhimpunan ini akan makan diri PN sendiri. Ternampak rakus, gelojoh dan bodoh,” katanya.

Sementara itu, tambah Mohamed Nashrudin, Angkatan Muda Harapan akan mengadakan kempen berasingan yang lebih bermanfaat sebagai ‘counter campaign’ terhadap Himpunan Turun Anwar tersebut.

“InsyaAllah dan nantikan. Hujah lawan hujah!” katanya.

Kemuncak demonstrasi Himpunan Turun Anwar anjuran Pas akan bermula kira-kira pukul 2.30 petang hari ini di Dataran Merdeka yang mana ketika ini dilaporkan para pesertanya sudah mula berkumpul di beberapa lokasi di sekitar ibu kota.

Himpunan yang disifatkan sebagai manifestasi rasa tidak puas hati terhadap apa yang didakwa kegagalan pentadbiran Kerajaan Madani di bawah Anwar itu disasarkan disertai antara 300,000 hingga 500,000 orang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast