Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr Gunaraj George

KUALA LUMPUR – Kehadiran rendah kaum India pada himpunan yang diadakan hari ini membuktikan komuniti tersebut masih menaruh kepercayaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta hala tuju kerajaan Madani hari ini.

Itu dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa merangkap Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Dr. Gunaraj George.

Beliau berkata, tindakan masyarakat India untuk tidak terlibat dalam demonstrasi jalanan menunjukkan mereka lebih memilih saluran konstruktif dan percaya kepada pelaksanaan reformasi serta dasar inklusif kerajaan.

“Ini menunjukkan majoriti masyarakat India masih percaya kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan hala tuju Kerajaan Madani.

“Daripada menyertai demonstrasi, ramai memilih untuk meletakkan harapan kepada reformasi bermakna, kestabilan ekonomi dan dasar inklusif yang sudah mula dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, di bawah pimpinan Anwar, banyak usaha telah dilakukan termasuk memperkukuhkan institusi, memerangi rasuah dan mengangkat martabat semua rakyat Malaysia.

Namun, katanya, keperluan mendesak untuk memberi perhatian khusus kepada masyarakat India tetap wujud, terutama dalam bidang pendidikan, akses pekerjaan, pemerkasaan belia dan pembangunan sosioekonomi.

“Kami percaya kerajaan mempunyai pelan yang jelas untuk menangani isu-isu ini, dan kami yakin Perdana Menteri akan menunaikannya. Keyakinan senyap masyarakat India, bukan bantahan lantang, menggambarkan keinginan mereka terhadap kemajuan sebenar, bukan sekadar retorik,” ujarnya.

Gunaraj turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat India yang terus memberikan keyakinan serta sokongan kepada kepimpinan kerajaan.

“Kepercayaan anda menyuntik semangat kami untuk terus berjuang demi membina Malaysia yang lebih adil dan inklusif untuk semua,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.