KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mencabar Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi menggerakkan himpunan menuntut pelaksanaan titah adendum buat Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ia katanya, bagi membuktikan demonstrasi Himpunan Turun Anwar yang digerakkan Pas hari ini akan lebih berkesan sekiranya disertai ahli dan penyokong UMNO.
Menurutnya, himpunan menuntut pelaksanaan titah adendum buat Najib itu akan terbukti berkesan sekiranya berjaya mengumpul ahli dan penyokong UMNO dalam jumlah separuh daripada yang menyertai Himpunan Turun Anwar hari ini.
“Tapi saya yakin tak akan berlaku, pertama kepimpinan parti Datuk sendiri pun bukannya bersungguh perjuangkan tahanan dalam rumah DS Najib.
“Kedua, mana nak cari orang nak datang himpunan tu Datuk..?” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Mohd Puad semalam berkenaan yang menyifatkan Pas berdebar-debar sama ada Himpunan Turun Anwar hari ini mampu menarik kehadiran seramai 500,000 orang seperti disasarkan.
Menurut Mohd Puad yang juga Speaker DUN Johor, perhimpunan anjuran Pas itu hanya akan lebih berkesan sekiranya turut disertai UMNO seperti yang pernah berlaku pada 2018. – MalaysiaGazette
















