KUALA LUMPUR – Pasukan penembak tepat (Sniper) Unit Tindakhas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengharumkan nama negara apabila merangkul dua anugerah berprestij dalam pertandingan “Sharp Blade 2025” International Sniper Competition yang berlangsung di Urumqi, Xinjiang, China, pada 13 hingga 19 Julai lalu.
Mewakili Malaysia buat julung kalinya, pasukan sniper UTK yang terdiri daripada dua Pegawai Kanan dan empat Pegawai Rendah Polis (operatif) itu bersaing hebat bersama 55 pasukan dari 26 negara sebelum berjaya dinobatkan sebagai penerima Anugerah “Best Teamwork” serta meraih pingat Perak bagi acara “Drone Assisted Sniping”.

PDRM dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook hari ini berkata, kejayaan itu bukan sahaja mengangkat martabat PDRM di persada dunia, malah turut memperkukuh reputasi UTK sebagai antara pasukan elit bertaraf antarabangsa.
“Pencapaian cemerlang ini jelas membuktikan ketangkasan taktikal, penguasaan teknologi moden, serta tahap kesiapsiagaan tinggi anggota UTK dalam menghadapi cabaran dan tekanan operasi,” katanya.
Tambahnya, penyertaan sulung dalam pertandingan antarabangsa itu turut menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga Sang Saka Biru untuk terus mencapai kecemerlangan dan berdaya saing di peringkat global. – MalaysiaGazette
















