Armizan (kiri) bersembang bersama Bella Astillah dan Elica Paujin pada Karnival Jelajah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Zon Sabah yang berlangsung di Ranau, semalam.

KUALA LUMPUR – Datuk Armizan Mohd Ali sempat mengadakan pertemuan dengan artis Sabah, Bella Astillah dan Elica Paujin, sebelum kedua-dua selebriti itu membuat persembahan pada Karnival Jelajah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Zon Sabah yang berlangsung di Ranau, semalam.

Dalam pertemuan tersebut, Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sempat bertanyakan mengenai perkembangan kerjaya seni mereka dan turut menyingkap kefahaman mengenai isu royalti muzik yang menjadi perbualan hangat sejak sekian lama.

Royalti muzik merupakan isu yang telah berlarutan selama berpuluh-puluh tahun, namun kini KPDN sedang berusaha untuk melakukan penambahbaikan bagi menangani cabaran itu.

Salah satu langkah utama yang dilaksanakan adalah melalui agensi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), yang kini memperkenalkan Garis Panduan (GP) Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) di bawah Seksyen 27M, Akta Hak Cipta 1987.

Menurut Armizan, MyIPO diberi kuasa untuk mengeluarkan garis panduan berkaitan perisytiharan dan pengendalian bagi mana-mana pihak yang didaftarkan sebagai CMO yang diberi mandat oleh pemilik hak cipta untuk menguruskan hak royalti mereka.

“Kita berusaha untuk menambah baik ekosistem pengurusan royalti muzik, termasuk di peringkat advokasi, pematuhan semua pemegang taruh, serta memastikan ketelusan tadbir urus berkaitan kutipan dan pembayaran royalti,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Namun, beliau menyatakan terdapat segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan perubahan yang dilakukan dan kini sedang melakukan semakan kehakiman di mahkamah. KPDN, MyIPO, serta Datuk Armizan sendiri telah dinamakan sebagai responden dalam semakan tersebut.

“Saya serah kepada proses undang-undang dan sistem kehakiman. Matlamat saya adalah untuk memastikan hak semua pihak dilindungi dan dipelihara, termasuk para artis dan karyawan. Kerajaan tidak boleh dilihat tidak berbuat apa-apa dalam mewujudkan kerangka perundangan yang lebih jelas dan menyeluruh,” tambah beliau.

Armizan turut menegaskan bahawa, karya dan bakat adalah harta yang berharga dan sumber rezeki bagi artis.

“Menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan harta dan rezeki tersebut terus dinikmati oleh para karyawan muzik, bukan sahaja sepanjang karier aktif mereka, tetapi juga selagi mana karya tersebut dimanfaatkan oleh para pengguna,” tambahnya.

Isu royalti muzik terus menjadi tumpuan, dan dengan penambahbaikan yang sedang dijalankan oleh KPDN, ia diharapkan akan membawa lebih banyak kesejahteraan kepada para karyawan muzik di negara ini. — MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast