Seorang penumpang mendukung anaknya ketika menuruni gelongsor pesawat.

DENVER – Penumpang American Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Denver terpaksa mengosongkan pesawat selepas gear pendaratan terbakar sejurus sebelum berlepas.

Kebakaran berlaku ketika Penerbangan 3023 American Airlines sudah siap sedia untuk berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Miami, menghadapi “isu mekanikal yang melibatkan tayar pesawat dan terbakar, kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.

Rakaman dramatik menunjukkan asap berkepul-kepul dari pesawat American Airlines ketika ia berada di atas landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Denver.

Kelihatan penumpang yang panik bergegas menuruni gelongsong dari pesawat dan asap terus menyelubungi tempat kejadian.

Beberapa penumpang memegang bayi mereka, yang menangis semasa menuruni gelongsor.

“@Denver_Fire memadamkan kebakaran selepas bertindak balas terhadap pesawat itu,” jabatan bomba kemudian mengesahkan pada X.

American Airlines mengesahkan semua pelanggan dan anak kapal turun dengan selamat, dan pesawat telah dikeluarkan daripada perkhidmatan untuk diperiksa.

“Gabungan tayar pecah dan nyahpecutan pesawat semasa membrek mengakibatkan kebakaran namun berjaya dikawal dan dipadamkan dengan pantas oleh Jabatan Bomba Denver,” kata syarikat penerbangan itu.

Terdapat 173 penumpang dan enam anak kapal di dalam pesawat ketika kejadian itu berlaku.

American Airlines mengesahkan seorang penumpang dilaporkan telah dibawa ke hospital dengan kecederaan ringan.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan dilaporkan sedang menyiasat kejadian itu. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast