Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyeru agar reformasi pilihan raya dilaksanakan segera sempena ulang tahun ke-70 pelaksanaan sistem pilihan raya di Malaysia sejak 1955.

Bersih berkata, ia perlu dilakukan bagi memastikan demokrasi negara benar-benar mencerminkan suara rakyat.

27 Julai 2025 menandakan genap 70 tahun negara kita mengamalkan pilihan raya untuk memilih pemimpin politik bagi menakhodai negara ini sejak pilihan raya pertama di Tanah Melayu pada tahun 1955.

“Kita telah melalui 15 kali pilihan raya sejak tahun 1955, dan puluhan malah mungkin ratusan pilihan raya kecil dan negeri,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Kata, bagaimanapun Malaysia masih berada pada kedudukan ke-40 dalam Indeks Demokrasi Economist Intelligence Unit (EIU) 2024, dan terus dikategorikan sebagai demokrasi cacat (flawed democracy) yang mana kedudukan itu tidak berubah sejak tahun lalu.

Proses pilihan raya negara, walaupun jauh daripada sempurna, namun memerlukan kita untuk terus menuntut, mendesak dan memperjuangkan pilihan raya yang bersih dan adil supaya pilihan raya sebagai wahana terbesar suara rakyat benar-benar mencerminkan suara itu,” ujarnya.

Bersih turut memaklumkan pihaknya telah mengadakan sidang meja bulat pada 24 Jun 2025 bersama pelbagai pihak termasuk pemimpin politik, masyarakat sivil dan pakar pilihan raya bagi merangka hala tuju reformasi dalam tempoh lima tahun akan datang.

Susulan sidang itu, Bersih menggariskan lima tuntutan utama: penubuhan Jawatankuasa Parlimen Hal Ehwal Pilihan Raya, penambahbaikan akses pengundian kepada pengundi luar kawasan, pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, penubuhan Suruhanjaya Persempadanan bebas dan penggubalan Akta Pembiayaan Politik.

SPR perlu mempertimbangkan dengan serius untuk memperluaskan kategori pengundi awal atau undi pos kepada pengundi Sabah dan Sarawak agar mereka dapat melaksanakan hak mereka selaku warganegara untuk membuang undi,” ujar Bersih.

Badan itu turut menggesa agar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dipinda segera kerana kali terakhir ia dikemas kini ialah pada tahun 2003 dan kini didapati mengandungi banyak kelompongan yang perlu diperbetulkan agar pilihan raya berlangsung secara adil dan telus.

Reformasi pilihan raya bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan mendesak,” katanya sambil menyeru semua pihak termasuk kerajaan, ahli Parlimen, SPR, parti politik dan rakyat untuk bersama-sama menjayakan agenda reformasi pilihan raya demi masa depan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast