Mahmad Jefri didakwa atas tuduhan melakukan amang seksual di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang ejen penapis air mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di Tasek Gelugor pada minggu lalu.

Tertuduh, Mahmad Jefri Mat Noh, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang perempuan berusia 17 tahun dengan memeluk badan, mencium bibir serta meraba bahagian dada dan kemaluan remaja tersebut.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Chempedak, Tasek Gelugor dekat sini pukul 4.50 petang pada 21 Julai lalu.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Aini Yahya tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Hairul Alif Hairul Azam yang mewakili tertuduh dalam mitagasi rayuan mohon mahkamah membenarkan jaminan atas budi bicara dengan alasan lelaki itu bekerja sebagai ejen sebuah syarikat penapis air serta perlu menanggung empat orang anak berusia antara dua hingga 10 tahun.

“Anak guam saya juga memberi kerjasama penuh kepada pihak polis sepanjang siasatan dijalankan selain bersetuju akan mematuhi segala syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan agar tidak mengganggu mangsa dan saksi sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan 28 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula dan serahan dokumen.

MalaysiaGazette difahamkan tertuduh melakukan perbuatan keji itu ketika hadir untuk servis penapis air di rumah mangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast