Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.

KUALA LUMPUR – Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak menyifatkan keputusan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memilih Pakatan Harapan (PH) sebagai rakan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah wajar dihormati.

Menurut bekas Ketua Menteri Sabah berkenaan, keputusan GRS yang akhirnya menolak jalan solo dan memilih untuk bersama parti-parti nasional, sudah tentu dibuat dengan asas tersendiri dan membuka peluang untuk rakyat menilai keputusan tersebut.

Menerusi keputusan itu, GRS juga menolak formula Sarawak yang menjauhkan diri daripada parti nasional sebaliknya memilih bekerjasama dengan parti-parti nasional.

“Kita di Barisan Nasional (BN) pula konsisten dari awal bahawa gabungan dengan PH adalah pendekatan terbaik demi kestabilan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan GRS dan PH telah bersetuju mewujudkan kerjasama pilihan raya bagi PRN-17 Sabah.

Menurut Hajiji, perbincangan mengenai pembahagian kerusi telah diadakan dan formula asas telah pun dibentuk, namun kin perlu memuktamadkan beberapa perkara kecil.

Sementara itu, Salleh berkata, UMNO dan BN bersangka baik dengan keputusan GRS memilih PH mungkin kerana mahu memastikan hubungan yang baik dengan Kerajaan Pusat.

Menurutnya, ia selari dengan keperluan untuk menjamin kestabilan politik dan pembangunan untuk Sabah.

Bagi BN, tambah beliau, parti itu lebih awal membuat pilihan untuk bersama PH atas dasar BN dan UMNO juga adalah asas Kerajaan Perpaduan pada peringkat Pusat.

Malah beliau turut menyifatkan kerjasama tersebut sebagai kesinambungan yang logik dan bertanggungjawab.

“Bagaimana PH mengurus kerjasama dengan BN dan GRS, itu bukan urusan kita. Apa yang penting bagi BN ialah keikhlasan dalam kerjasama dan fokus kita ialah memperkukuh kekuatan parti di lapangan,” katanya.

Dalam pada itu, Salleh mengingatkan, sekiranya mahu memenangi dan membantu rakan-rakan dalam gabungan, tidak ada mana-mana parti yang seharusnya `bermain’ dua muka.

“Pendekatan kita jelas – jujur, terbuka, dan demi kebaikan rakyat Sabah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast