KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal menggesa Rang Undang-Undang (RUU) Racun (Pindaan) 2025 dikembalikan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan untuk penelitian semula.
Beliau menyifatkan pindaan itu sebagai ‘separuh masak’ selain berisiko menjejaskan profesionalisme amalan perubatan.
Ketika membahaskan RUU berkenaan di Dewan Rakyat hari ini, beliau mendakwa, undang-undang tersebut kelihatan cuba diluluskan secara tergesa-gesa tanpa konsultasi awam yang sewajarnya khususnya bersama kumpulan perubatan profesional yang terlibat secara langsung dengan penguatkuasaan akta itu.
“Pertubuhan perubatan profesional telah mengemukakan memorandum bantahan. Mereka menegaskan penguatkuasaan undang-undang perubatan tidak boleh disamakan dengan siasatan jenayah. ‘Kami bukan penjenayah, kami adalah pengamal kesihatan,’ kata doktor-doktor ini,” katanya.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap peruntukan yang memberi kuasa kepada menteri untuk melantik mana-mana individu sebagai pegawai diberi kuasa tanpa menetapkan kriteria kelayakan atau latihan yang jelas.
“Tindakan memperluas definisi pegawai diberi kuasa kepada semua pegawai polis tanpa pengecualian adalah tidak wajar, berisiko menjejaskan kerahsiaan pesakit, menimbulkan ketakutan dalam kalangan pengamal kesihatan dan mencemar profesionalisme perubatan.
‘Di mana prinsip good governance dan check and balance?,” soal beliau.
Beliau turut mempersoalkan pengenalan entiti Rakan KKM sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang diumumkan sebagai inisiatif untuk menambah dana sektor kesihatan sambil menyoal sama ada langkah itu membuka ruang kepada penswastaan penguatkuasaan.
“Menteri sendiri mengaku hutang negara sudah melepasi siling statutori 65 peratus KDNK. Jadi adakah ini jalan untuk membuka pintu kepada syarikat swasta mengambil alih peranan KKM?
“Adakah kita memperdagangkan kesihatan awam demi keuntungan? Apakah kemampuan entiti baharu itu menjana pendapatan seperti dirancang,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa RUU tersebut dirujuk semula kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan untuk diteliti bersama pandangan pemegang taruh termasuk doktor dan pengamal perubatan. – MalaysiaGazette
















