Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tiga pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) di Terengganu direman enam hari kerana disyaki menerima suapan kira-kira RM25,000 sebagai balasan memudahkan urusan permohonan pelan kelulusan bangunan.

Perintah reman sehingga 2 Ogos dikeluarkan Majistret Yuhanis Mohd Roslan selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Mlaysia SPRM) membuat permohonan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Terengganu pagi ini.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40 dan 50-an ditahan kira-kira 2.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut dari tahun 2015 hingga 2019. Ketiga-tiga suspek dipercayai menerima wang rasuah dengan jumlah berbeza yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM25,000 melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi masing-masing daripada syarikat tersebut,” katanya.

Tambah sumber, jumlah tersebut merangkumi sebanyak 14 projek yang terlibat.

Sumber memberitahu, tangkapan adalah susulan penangkapan seorang pengarah sebuah agensi kerajaan pada Januari lalu yang melibatkan rasuah bernilai kira-kira RM900,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan ketiga-tiga penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) ASPRM 2009.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast