KUALA LUMPUR – Tokoh korporat, Lee Kim Yew menggesa rakyat Malaysia menyokong insiatif sebuah hotel, Palace of the Golden Horses menubuhkan Dana Pemikir.
Lee Kim Yew yang juga pengasas hotel itu berkata, Dana Pemikir ditubuhkan sempena ulang tahun kelahiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mahathir yang ke-100 tahun.
Beliau berkata, dengan mensasarkan sekurang-kurangnya RM100 juta menjelang 2057, Dana Pemikir tidak bermotifkan politik, sebaliknya untuk menyemarakkan semangat idealisme dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Pada 16 Julai, saya dengan penuh penghormatan menerima surat rasmi bertandatangan beliau, mengesahkan kehadiran beliau di acara “100 ke 100” yang dianjurkan khas untuknya dan menyatakan kesediaan beliau untuk bersama saya, menyeru rakyat Malaysia untuk berfikir.
“Saat abad yang jarang berlaku, untuk renungan negara, bukan sekadar perayaan, jarang sekali tokoh berusia 100 tahun hadir dalam acara awam.
“Dalam suasana politik yang berpecah dan masyarakat semakin kompleks, seorang negarawan berusia 100 tahun masih sanggup tampil ke hadapan, menyumbangkan idealisme dan arah, ini bukan soal politik, ini soal semangat.
“Bukan pujian terhadap jasa, tetapi satu kebangkitan nasional,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-100 Dr Mahathir dan Pelancaran Wawasan Negara di Palace of the Golden Horses, di Seri Kembangan, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Hasmah Mohamad Ali, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Kim Yew berkata, sebagai seorang ahli perniagaan, beliau berhasrat untuk menubuhkan Dana Pemikir yang membuka ruang kepada semua lapisan masyarakat menjadi sebahagian daripada Visi Nasional Malaysia 2057.
“Kami mengajak semua rakyat menyertai majlis pemikiran rakyat tanpa mengira parti, kaum mahupun darjat.
“Saya pernah mengusahakan bidang hartanah, hospitaliti, kewangan, pertanian, dan perbankan digital, tetapi hari ini, saya hanya mahu bina satu perkara, iaitu ruang untuk pemikiran rakyat Malaysia.
“Sebuah pentas awam yang tidak bertanya siapa berkuasa atau kaya, tetapi siapa jujur, dan siapa berani membayangkan masa depan,” katanya.
Menurut Kim Yew, beliau percaya untuk sesebuah negara berubah, fikirannya mesti berubah dahulu.
“Untuk rakyat menjadi kuat, keyakinannya mesti teguh dahulu. Untuk pemimpin menjadi jelas, rakyat mesti berani bertanya dahulu. Saya berharap perjuangan ini akan menyemarakkan semangat generasi muda Malaysia.
“Saya ingin mengundang semua 33 juta rakyat Malaysia dalam semangat, sama ada anda pelajar, pekerja, usahawan, penjawat awam, seniman, luangkan seminit sahaja untuk fikirkan masa depan Malaysia.
“Fikirkan jenis masyarakat yang akan diwarisi oleh anak-anak kita. Fikirkan bagaimana kita boleh ubah krisis menjadi peluang, rasa marah menjadi kasih dan arah menjadi tindakan.
“Dengan semangat seorang tokoh berusia 100 tahun, mari kita sama-sama mengangkat janji untuk 100 tahun akan datang.
“Ia bukan hanya penghormatan kepada Tun Dr. Mahathir, tetapi juga pesanan kepada seluruh rakyat Malaysia. Semoga kita bersatu hati. Semoga sejarah akan mengingati pada saat ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















