Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,443 kandungan jelik dan jelik melampau melibatkan kanak-kanak telah diturunkan oleh penyedia perkhidmatan berikutan permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dari 1 Januari 2022 sehingga 15 Julai lalu.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tindakan itu dibuat susulan pelanggaran peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] serta garis panduan komuniti penyedia platform.

“Sebagai badan kawal selia industri komunikasi dan multimedia, MCMC mengambil pendekatan menyeluruh untuk memastikan kandungan yang memudaratkan dicegah.

“Konten anomali, toksik dan merosakkan kognitif seperti brain rot dapat dikawal dan pendedahan terhadap pengguna muda termasuk remaja dan kanak-kanak,” katanya semasa sesi pertanyaan lisan menteri pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi; Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun.

Jelas Fahmi, pihaknya terus melakukan sesi libat urus dengan penyedia perkhidmatan platform seperti YouTube dan TikTok bagi memastikan sistem algoritma mereka lebih telus dan selaras dengan kehendak peraturan tempatan.

“Ini termasuk keperluan untuk mengehadkan pendedahan pengguna kepada kandungan yang berunsur negatif atau memudaratkan,” katanya.

Menurutnya, MCMC melaksanakan keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang memenuhi keperluan pelesenan untuk memohon dan mendapatkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) di bawah Akta 588 bermula 1 Januari 2025.

“Ia bagi mewujudkan ekosistem rangkaian internet lebih selamat dan lestari kepada semua pengguna terutama kepada kanak-kanak, keluarga dan mereka yang terdedah kepada kemudaratan dalam talian.

“Langkah ini bertujuan untuk memastikan setiap penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang memenuhi keperluan pelesenan, bertanggungjawab dari segi kawal selia kandungan serta pengurusan algoritma,” katanya.

Selain itu, katanya, MCMC telah menerbitkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet dan Penyedia Perkhidmatan Media Sosial.

“Kod ini menggariskan tanggungjawab penyedia perkhidmatan dalam melindungi kanak-kanak dan remaja daripada kandungan yang memudaratkan.

“Antaranya melaksanakan langkah-langkah verifikasi umur; menyediakan tetapan kawalan bagi ibu/bapa/penjaga yang efektif dan memperkasa fungsi untuk pengguna kanak-kanak melindungi diri mereka daripada kandungan mudarat.

“Mereka juga perlu menyediakan fungsi dan tetapan mesra pengguna dan dikemas kini secara berkala kekal berkesan; menjalankan audit keselamatan kandungan secara berkala dan menyokong inisiatif pendidikan dan kesedaran keselamatan dalam talian,” katanya.

Katanya lagi, sejak Kempen Internet Selamat (KIS) dilancarkan pada 21 Januari, sebanyak 559 institusi pendidikan termasuk sekolah rendah dan menengah dan institusi pengajian tinggi awam melibatkan lebih 60,000 pelajar sudah dilaksanakan setakat 28 Julai.

“Kempen ini juga memberi penekanan kepada fenomena Child Sexual Abuse Material (CSAM) atau bahan penganiayaan seksual kanak-kanak yang dihasilkan sendiri oleh kanak-kanak akibat pengaruh luar seperti pengantunan seksual, serta kesan psikologi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast