BUKIT MERTAJAM – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang menggesa Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, membuat permohonan maaf secara terbuka berikutan kenyataan sindiran terhadap usaha Malaysia sebagai pengantara dalam konflik Thailand-Kemboja.
Dalam satu kenyataan hari ini, AMK menyifatkan tindakan Fadhli sebagai biadab dan memalukan negara apabila memuat naik status di Facebook yang menyamakan pemimpin negara jiran sebagai kambing dan biri-biri.
Menurut AMK, kenyataan itu tidak beretika dan memperlihatkan tahap pemikiran politik yang cetek dan bahaya, apatah lagi ketika Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN menerima pengiktirafan antarabangsa atas peranannya dalam misi perdamaian serantau.
“Sepatutnya sebagai Ahli Parlimen, beliau menyokong usaha diplomatik negara, bukan memperlekeh hanya kerana perbezaan politik.
“Kita turut menyokong kenyataan Ketua AMK Malaysia, Muhammad Kamil Abdul Munim, yang menegaskan bahawa isu tersebut melibatkan maruah negara dan tidak harus dipolitikkan,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, Ahmad Fadhli perlu membuat permohonan maaf secara rasmi kepada seluruh rakyat Malaysia dan kepimpinan negara serta menunjukkan komitmen untuk menghentikan sebarang kenyataan yang memperlekeh usaha diplomatik Malaysia di pentas antarabangsa.
“AMK Pulau Pinang menegaskan bahawa kebebasan bersuara bukan lesen untuk memperkecilkan negara sendiri. Seorang wakil rakyat perlu menjunjung integriti dan patriotisme, bukan menjadi liabiliti kepada negara,” katanya. – MalaysiaGazette















