Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan ketika sidang media pada Majlis Penutup Eksesais Keris Strike 2025 di Felda Lawin Selatan, Lenggong, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 29 JULAI 2025.

LENGGONG – Tentera Darat Malaysia (TDM) tidak menolak kemungkinan seorang anggota komando dalam pasukannya yang maut ketika menjalani latihan selaman di perairan Kuantan, Pahang awal Julai lalu telah menggunakan peralatan lama.

Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, walau bagaimanapun perkara itu masih dalam siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian berkenaan.

“Hasil siasatan awal kita mendapati peralatan yang digunakan oleh mangsa ketika latihan selaman itu sudah agak berusia.

“Namun, kita masih membuat semakan dan siasatan lanjut untuk mengenal pasti adalah ia punca faktor manusia atau peralatan itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Serangan Akhir dan Majlis Penutup Eksesais KERIS STRIKE 2025 di FELDA Lawin Selatan, dekat sini, pada Selasa.

Muhammad Hafizuddeain memberitahu, tiada ketetapan atau tempoh masa siasatan yang ditetapkan kerana ia bergantung kepada kerumitan siasatan.

Pada masa sama beliau berkata, TDM sentiasa melakukan pemeriksaan dan penyelenggaraan terhadap semua aset yang dimiliki berdasarkan prosedur serta polisi yang ditetapkan.

“Justeru dalam kes ini kita akan meneliti semula adakah peralatan yang digunakan semasa latihan tersebut telah diselenggara mengikut tempoh masa yang ditetapkan atau sebaliknya,” kata beliau lagi.

Pada 5 Julai lalu, media melaporkan seorang anggota komando meninggal dunia selepas ditemukan lemas ketika melakukan latihan menyelam di perairan Pelabuhan Kuantan.

Ketika kejadian, Koperal Mohd Haswansir Julnasir, 30, anggota Grup Gerak Khas (GGK) yang bertugas di Rejimen Ke-22 sedang menyertai latihan Seaghost Siri 1/2025. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast