GEORGE TOWN – Dua pegawai Imigresen ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang semalam bagi membantu siasatan berhubung kegiatan counter-setting melibatkan kemasukan warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).
Menurut kenyataan SPRM negeri, penahanan terhadap dua wanita masing-masing berusia 45 dan 48 tahun itu dilakukan menerusi satu operasi khas susulan maklumat risikan mengenai salah guna kuasa dan perbuatan rasuah di kawasan pintu masuk negara.
Kedua-dua individu itu ditahan bagi siasatan di bawah Akta SPRM 2009 [Akta 694].
“Siasatan masih berjalan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian dan modus operandi kegiatan terbabit,” katanya hari ini.
Tambah kenyataan itu, SPRM komited mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai atau agensi penguat kuasa yang terlibat dalam aktiviti seumpama itu, khususnya yang menyentuh aspek keselamatan dan kedaulatan negara.
Orang awam turut diseru tampil membantu dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui kewujudan rasuah dalam mana-mana sektor, sama ada awam mahupun swasta. – MalaysiaGazette
















