KUALA LUMPUR – Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Shafi Muhammad menghamburkan kecaman keras terhadap Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari susulan tindakannya memuat naik karikatur satira berkaitan konflik bersenjata Thailand–Kemboja yang dilihat menghina peranan Malaysia sebagai pengantara.
Karikatur berkenaan menggambarkan seekor kambing dan biri-biri berebut pisang, diperhatikan oleh seekor monyet di tengah seolah-olah menjadi orang tengah dipercayai sindiran terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjaya memediasi persetujuan gencatan senjata antara dua negara itu.
Bagi Saifuddin, tindakan Fadhli itu melampaui batas dan menyerlahkan sikap terdesak seorang pemimpin politik yang ketandusan modal.
“Ini bukan sekadar satira ini penghinaan terhadap usaha menyelamatkan ribuan nyawa yang tidak berdosa. Fadhli perlu mohon maaf kepada rakyat Thailand, Kemboja, dan Perdana Menteri. Jangan sembunyi di balik alasan satira bila jelas ia sindiran murahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin yang juga Pengarah Strategik Keadilan Selangor turut menyifatkan Pas semakin hilang arah dan cemburu buta terhadap kejayaan diplomasi Malaysia di bawah kepimpinan Anwar.
“Mengapa begitu terdesak dan cemburu dengan kejayaan Malaysia menamatkan ketegangan? Bukankah ini tentang nyawa manusia? Adakah Pas mahu dunia melihat parti Islam ini sebagai kumpulan yang sanggup merendahkan usaha damai demi politik picisan?” soalnya.
Saifuddin tidak menolak kemungkinan hantaran tersebut dibuat sebagai ‘alat menutup kegagalan Pas menarik rakyat turun demonstrasi baru-baru ini’.
“Fadhli, berhentilah jadi badut politik. Kalau gagal tarik orang ke jalan raya, jangan pula hina usaha negara di pentas antarabangsa. Ini bukan sekadar memalukan diri sendiri, tetapi mencalar imej Malaysia,” ujarnya.
Beliau menegaskan, tindakan itu bukan sahaja tidak beretika malah biadab terhadap negara jiran dan usaha diplomasi Malaysia.
“Kalau ini standard Ketua Penerangan Pas, jelaslah mereka tidak peduli soal maruah negara. Hanya publisiti murahan yang dikejar,” tambah Saifuddin. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Satira karikatur haiwan: Pelbagai pihak terus desak Fadhli mohon maaf
















