Mohd Jafni mempengerusikan Mesyuarat Taskforce Pembangunan Pusat Data Negeri Johor Bil. 2/2025 di Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Johor telah meluluskan 42 projek pembinaan pusat data sehingga suku kedua tahun ini manakala tujuh lagi permohonan baharu dalam pertimbangan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, perkembangan itu mencerminkan keyakinan kukuh pelabur antarabangsa terhadap daya saing negeri ini sebagai destinasi pelaburan digital utama rantau ini.

“Pusat data ini menjadi nadi baharu kepada pertumbuhan ekonomi digital, malah menjadi tulang belakang pelaksanaan Johor-Singapore Economic Zone (JSEZ), Pelan Digital Johor dan agenda besar transformasi ekonomi negeri ke arah industri berteraskan teknologi tinggi.

“Pelaburan ini membawa masuk teknologi canggih, membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan memperkukuh nilai hartanah serta rantaian ekonomi digital tempatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Taskforce Pembangunan Pusat Data Negeri Johor Bil. 2/2025, di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh serta Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han.

Mohd Jafni berkata, pihaknya juga memberi tumpuan khas terhadap penempatan pusat data di kawasan industri terancang seperti IBTEC Kulai, kawasan industri Sedenak serta zon industri Pasir Gudang yang memiliki kelebihan strategik daripada segi infrastruktur dan pematuhan guna tanah.

Di kawasan itu katanya, pelabur mempunyai akses terus kepada lebuh raya utama, grid elektrik berskala tinggi, sumber air mentah dan terawat yang stabil serta kedudukan hampir dengan pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa.

Jelasnya, setakat ini, Johor menawarkan keluasan tanah industri berstatus terancang untuk pusat data yang sangat mencukupi iaitu berjumlah 3,082 hektar.

Ini termasuk kawasan di bawah Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) seperti ASM Green, Rising Gateway, Iskandar Halal Hub, Kosmo dan Keck Seng dan IBTEC di bawah Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).

“Kawasan IBTEC yang dibangunkan JLG sahaja menyediakan sebanyak 600 ekar tanah khusus untuk pembangunan pusat data. Kita telah sediakan semua prasyarat sekarang masanya untuk menarik lebih ramai pelabur strategik ke Johor.

“Bagi kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), kerajaan negeri akan menghadkan serta mengawal kelulusan baharu bagi pembinaan pusat data,” ujarnya.

Langkah itu katanya, bagi memastikan pembangunan ini tidak mengganggu keseimbangan perancangan bandar sedia ada, mengelakkan berlakunya konflik guna tanah khususnya di kawasan kediaman dan ditempatkan di lokasi yang sesuai dan strategik.

“Lebih penting lagi, Johor kini mendahului seluruh negara sebagai peneraju pelaburan pusat data dan mula mengguna pakai teknologi bertaraf Tier 4 termasuk sistem penyejukan ‘air cooler’ yang menjimatkan air serta teknologi rawatan semula air IWK melalui kerjasama dengan Johor Special Water (JSW),” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast