Peguam, Datuk Sankara Narayan Nair bersama Duta Besar Belanda ke Malaysia, Jacques Werner hadir bagi keputusan kes saman ibu model Belanda, mendiang Ivana Esther Robert Smit terhadap polis, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia di Kompleks Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 29 JULAI 2025

KUALA LUMPUR – Keluarga mendiang model Belanda, Ivana Esther Robert Smit menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi memihak kepada mereka merupakan pengiktirafan terhadap kepincangan yang berlaku dalam siasatan kematian mangsa.

Menerusi kenyataan media yang dikongsikan peguamnya, Datuk S.N. Nair, keluarga itu berpendapat, ganti rugi RM1.1 juta yang diberikan oleh mahkamah bukan perkara yang diutamakan.

Sebaliknya, ia membuktikan mereka bukan ‘hilang akal’ kerana tetap memperjuang keadilan buat Ivana sepanjang lapan tahun selepas kematian gadis itu.

“Kami tahu Ivana tidak akan kembali, tetapi sekurang-kurangnya kami puas hati siasatan baharu akan dijalankan dan pihak-pihak bertanggungjawab tidak akan tidur lena,” kata kenyataan tersebut.

Mendiang Ivana Esther Robert Smit

Terdahulu, Hakim Roz Mawar Rozain memerintahkan Kerajaan Malaysia dan tiga lagi membayar ganti rugi berjumlah RM1.1 juta kepada ibu model itu, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen berhubung kematian anaknya di sebuah kondominium, lapan tahun lalu.

Mahkamah membenarkan saman wanita itu selepas berpuas hati keempat-empat defendan melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam siasatan mencari punca kematian model itu.

Sementara itu, Nair ketika ditemui pihak media di luar mahkamah menyifatkan keputusan yang disampaikan oleh hakim berkenaan amat terperinci dan tidak pernah beliau saksikan sepanjang kariernya sebagai peguam.

“Bukan selalu kita akan lihat hakim memberikan keputusan sebegini (terperinci),” ujarnya.

Tambahnya, beliau telah berkomunikasi dengan ahli keluarga mendiang dan mereka sangat gembira dan terharu dengan keputusan tersebut, meskipun sedih kerana kes itu mengambil masa yang terlalu lama untuk diselesaikan.

Ujarnya, keluarga Ivana berpendapat, mereka akhirnya bebas daripada rasa bersalah ekoran nama mangsa telah `busuk’ ekoran siasatan dan keterangan saksi ketika inkues dijalankan.

“Keterangan saksi-saksi seolah-olah menggambarkan anak mereka kurang moral, ini semua tidak betul. Walhal mangsa hanya ingin menjalani kehidupan yang normal.

“Saya berharap penghakiman kes ini akan menjadi nas undang-undang apabila masyarakat berhadapan dengan tanggungjawab dan akauntabiliti polis yang menjalankan siasatan, ” katanya.

Ujar Nair, apa yang lebih menarik, ini pertama kali beliau berhadapan dengan keputusan mahkamah yang mengarahkan polis memberi taklimat mengenai perkembangan kes kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) setiap tiga bulan.

Katanya, ini membuktikan siasatan harus dijalankan semula dan dilengkapkan.

Dalam pada itu, Duta Besar Belanda ke Malaysia, Jacques Werner berkata, keputusan hari ini amat penting bagi memastikan siasatan yang telah mengambil masa begitu lama, diselesaikan.

Sambil menjelaskan bahawa kehadirannya ke mahkamah adalah atas jemputan peguam keluarga mendiang Ivana, Jacques berkata, keputusan itu diharap memberi keadilan kepada mangsa dan keluarganya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast