Onn Hafiz bertemu Kim Yong dalam lawatan kerjanya pada hari pertama di Singapura, hari ini.

JOHOR BAHRU – Sebanyak 70 syarikat dari Malaysia, Singapura, China, Jerman, Britain dan Belanda menunjukkan minat melabur di Johor menerusi Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J).

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, daripada jumlah itu, lima syarikat dari Singapura menyumbang nilai pelaburan sekitar RM1.340 billion.

“Ini termasuk tambahan minat pelaburan berjumlah RM78 juta dalam fasa kedua,” katanya dalam hantaran terbaharu dalam Facebook hari ini.

Beliau menerima anugerah Lee Kuan Yew Exchange Fellowship (LKYEF) ke-82 semasa lawatan rasmi hari pertama ke Singapura hari ini dan bertemu Timbalan Perdana Menteri Singapura, Gan Kim Yong.

Mengenai pertemuan dengan Kim Yong yang juga Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Onn Hafiz berkata, delegasi Johor berkongsi perkembangan terbaharu Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Jelasnya, pelan induk tersebut sedang dibangunkan dengan sokongan perunding lantikan kerajaan Malaysia.

Pihaknya juga berbincang tentang cadangan-cadangan strategik seperti penubuhan Free Trade Zone (FTZ) dalam kawasan JS-SEZ, kemudahan pergerakan barangan dan bakat rentas sempadan serta cadangan membina laluan Sistem Transit Rapid (RTS) kedua di sebelah barat Johor.

“Lebih penting lagi, perbincangan turut menyentuh isu yang dekat di hati rakyat antaranya kos sara hidup, keperluan memperkukuh infrastruktur asas serta mewujudkan sistem pengangkutan yang lebih cekap dan inklusif.

“Saya nyatakan bahawa Johor bersedia melaksanakan dasar-dasar yang progresif namun sentiasa peka terhadap impak kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.

Pertemuan itu juga membuka ruang penting untuk memperkukuh kerjasama dua hala antara Johor dan Singapura dalam bidang perdagangan, pelaburan dan transformasi ekonomi serantau menerusi pelaksanaan JS-SEZ.

Menteri Besar Johor percaya kerjasama strategik antara Johor dan Singapura mesti terus diperkasa demi menjayakan agenda pembangunan yang inklusif, adil dan lestari supaya tiada sesiapa pun yang tertinggal daripada arus kemajuan.

“Insya-Allah, Johor, Malaysia dan Singapura akan terus menjadi rakan serantau yang saling menguntungkan untuk masa depan yang lebih makmur,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast