Muhammad Hilman Idham

 

 

KUALA LUMPUR – Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan penahanan dua pemimpin mudanya sebagai tindakan politik terdesak dan satu bentuk penindasan terhadap suara anak muda yang bangkit menentang kegagalan kerajaan.

Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham berkata, penahanan pemangku Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam, Johor Syafiq Aziz dan Setiausaha Kerja Armada Bersatu Perak, Muhammad Furqan Hakimi semalam menunjukkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin tidak stabil dan takut pada kebangkitan rakyat.

“Sesungguhnya, penahanan kedua-dua tokoh anak muda ini adalah satu tindakan politik yang zalim dan menindas hak dan kebebasan rakyat,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kedua-dua individu itu ditahan selepas menghadiri Himpunan Turun Anwar di ibu negara pada Sabtu yang dianjurkan sebagai simbol penolakan terhadap kepimpinan perdana menteri.

Muhammad Hilman mendakwa, penggunaan Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dalam penahanan tersebut menunjukkan kerajaan sanggup menghidupkan semula undang-undang zalim demi menutup mulut rakyat.

“Atas apa jua alasan, Armada Bersatu Malaysia mendesak pihak Polis Diraja Malaysia dan Kerajaan Madani untuk membebaskan mereka berdua dengan kadar segera,” ujarnya lagi.

Beliau turut memberi amaran kepada kerajaan agar tidak memperlekeh semangat perjuangan anak muda yang kini menjadi suara utama rakyat di lapangan.

“Ini adalah amaran keras kepada Kerajaan Madani yang terbukti zalim dan menindas. Bebaskan segera dua tokoh anak muda ini, atau hadap kuasa rakyat melalui kebangkitan anak muda Malaysia yang akan menumbangkan keangkuhan kamu,” tegasnya.

Isnin lalu, aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, ditahan pihak polis di kediamannya bagi membantu siasatan berhubung penganjuran Himpunan Turun Anwar yang diadakan pada Sabtu lalu.

Menurut peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali, penahanan anak guamnya  dimaklumkan kepada beliau sekitar jam 2.30 petang dan difahamkan siasatan melibatkan empat dakwaan di bawah pelbagai peruntukan undang-undang.

Perhimpunan yang dianjurkan atas nama Himpunan Turun Anwar itu dihadiri kira-kira 18,000 peserta yang berkumpul secara aman sebagai bentuk bantahan terhadap pentadbiran Anwar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast