KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menerajui gelombang baharu pembangunan luar bandar melalui penganjuran Karnival Mega 3 Dimensi (KM3D) 2025 iaitu satu acara nasional berskala besar yang bakal menjadi simbol kebangkitan desa sebagai pemacu utama kemajuan negara.
Bertemakan Desaku Mendunia, karnival yang sedang berlangsung hingga 3 Ogos di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu menyatukan tiga program utama negara iaitu Hari Peneroka Felda (HPF), Karnival Usahawan Desa (KUD) dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dalam satu acara bersepadu.
FELDA dalam satu kenyataan berkata, 2025 dilihat sebagai titik tolak penting dalam melaksanakan misi transformasi perkhidmatan korporat dan memperkasa komuniti luar bandar.
Agensi itu juga menjelaskan bahawa pelaksanaan KM3D mencerminkan kesungguhan agensi itu menyusun semula kekuatan institusi selaras dengan Pelan Strategik Felda 2025–2030.
“KM3D bukan sekadar sebuah pesta karnival atau platform pameran produk, tetapi juga merupakan manifestasi komitmen Felda dalam menyusun semula kekuatan institusi dan meningkatkan mutu perkhidmatan korporat untuk menyokong aspirasi nasional,” kata kenyataan itu.
“FELDA mengambil langkah proaktif melalui pelbagai program sosioekonomi dan keusahawanan, membolehkan warga peneroka melangkah keluar daripada kepompong kemiskinan dan menjadi pemain ekonomi desa yang lebih mandiri dan berdaya saing,” kata kenyataan itu.
Antara kejayaan yang mencuri perhatian pada KM3D ialah kemenangan MARESMAF Wind Orchestra (MAWO) dari MRSM Ulul Albab Felda Trolak, yang meraih Anugerah Emas di Festival Antarabangsa Orkestra Tiupan 2025 di Prague, Republik Czech.
Kejayaan itu bukan sahaja mengharumkan nama FELDA tetapi membuktikan keupayaan anak-anak komuniti luar bandar bersaing di peringkat global apabila diberi peluang dan sokongan.

Sementara itu, Hari Peneroka FELDA yang menjadi teras utama karnival turut diraikan secara besar-besaran di mana pra sambutan yang berlangsung di Felda Tunggal, Johor menarik lebih 15,000 pengunjung.
Karnival Madani yang diadakan di FELDA Wilayah Sahabat, Sabah juga mengukuhkan ikatan antara komuniti FELDA di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Karnival Usahawan Desa (KUD) kali ini mencatat rekod penyertaan lebih 1,000 usahawan dari seluruh negara. Produk makanan, kosmetik, fesyen dan inovasi pertanian memenuhi ruang pameran. Lebih 100 aktiviti termasuk sesi padanan perniagaan, pitching pelaburan dan bengkel eksport turut dirangka.
“Konsert percuma yang menampilkan Aina Abdul dan Khai Bahar turut menyemarakkan pentas rakyat menjadikan suasana karnival bukan sekadar informatif tetapi turut bersifat inklusif dan menghiburkan.
“Dalam masa yang sama, SDSI mempersembahkan pelbagai produk unik dari seluruh daerah termasuk kopi FELDA Moakil, makanan tradisional dari Gua Musang, batik dari Terengganu, dan tenunan eksklusif dari Pahang. Pameran ini menarik minat pelabur antarabangsa dari Jepun, UAE, Turki dan China, membuka potensi eksport baharu bagi produk desa,” tambah kenyataan itu.
Dalam pada itu, KM3D turut menjadi platform untuk mempromosi pelbagai inisiatif digital FELDA seperti SmartVillage, e-Kopex, serta integrasi teknologi AI, IoT, dan drone untuk pemantauan ladang.
Pembangunan aplikasi MyDesaGo pula membuka akses pasaran luar negara melalui padanan digital bersama diaspora Malaysia di luar negara.
Geran Pengeksport Mikro FELDA, Dana Transformasi Digital dan Program Mobiliti Global diperkenalkan bagi menggalakkan usahawan FELDA memperluas capaian produk ke pentas antarabangsa.
Gabungan program nasional seperti HPF dan KUD pada masa depan menjadi cerminan pendekatan integrasi nasional yang lebih efisien dan berimpak tinggi.
Sementara itu, pelantikan semula Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Pengerusi FELDA turut menandakan kesinambungan pembaharuan struktur pentadbiran dan hala tuju strategik agensi itu. – MalaysiaGazette
















