Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab

 

KUANTAN – Lima orang nelayan ditahan selepas didapati positif dadah menerusi Operasi Bersepadu Op Guardian Bil 1/2025 yang berlangsung sejak semalam di sekitar daerah ini. 

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, kelima-lima lelaki tempatan berusia lingkungan 40 sehingga 51 tahun itu ditahan di Jeti Batu 3, Kampung Kurnia awal pagi semalam.

Menurutnya, tangkapan dibuat susulan serbuan dan pemeriksaan yang dijalankan ke atas 24 buah bot nelayan di lokasi terbabit.

“Fokus operasi kali ini terhadap komuniti maritim termasuk nelayan yang menyalahguna dadah selain kesalahan rentas sempadan lain.

“Jadi, dalam operasi tersebut, seramai 16 individu telah disaring untuk ujian air kencing di mana pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mendapati lima daripada mereka ini positif dadah,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penangguhan Operasi Bersepadu Op Guardian Bil 1/2025 di Jeti Jabatan Perikanan Kuantan, di sini hari ini.

Selain Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang dan AADK, operasi dua hari bermula semalam itu turut melibatkan 44 orang pegawai dan anggota pelbagai agensi penguatkuasa keselamatan iaitu Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM) Negeri Pahang.

Mazlan berkata, operasi telah digerakkan menggunakan lima buah aset laut daripada pelbagai agensi, iaitu dua buah bot daripada Maritim Malaysia, sebuah bot daripada PPM, sebuah bot daripada JKDM dan sebuah bot daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

“Op Guardian dilancarkan berasaskan kebimbangan Tuanku Sultan Pahang terhadap isu penyalahgunaan dadah di kalangan nelayan, khususnya di kawasan muara Sungai Kuantan di mana ia bukan sekadar masalah maritim, tetapi isu keselamatan negeri yang perlu ditangani secara holistik.

“Kita tidak boleh berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahguna laut sebagai ruang untuk jenayah dan Ops Guardian adalah mesej jelas bahawa pihak berkuasa tidak akan berdiam diri terhadap sebarang ancaman sosial dan keselamatan,” tegas beliau.

Justeru, Mazlan turut menyeru komuniti nelayan agar bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam memastikan perairan Pahang kekal selamat dan bebas daripada pengaruh dadah serta jenayah maritim.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast