Abdul Halim Tawil

MELAKA – Doa Qunut Nazilah untuk memohon perlindungan dan pertolongan Allah ketika dilanda suatu musibah, peperangan serta penindasan, tidak sepatutnya ditujukan kepada sesama umat Islam hanya kerana perbalahan politik dan sahsiah.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, tindakan itu juga bertentangan dengan adab yang diajar Nabi SAW ketika Baginda sendiri dizalimi oleh pelbagai kaum Quraisy, Yahudi dan sebagainya.

Menurutnya, sebaliknya, bacaan doa itu yang menyasarkan pemimpin negara dalam satu perhimpunan baru-baru ini amat tidak berakhlak, tiada nilai ketinggian ilmu untuk dilontarkan kepada seseorang yang sama akidah.

“Saya menyeru kepada umat Islam, walaupun apa perbezaan kita dari sudut pandangan peribadi, tidak sependapat sahsiah dan politik janganlah menggunakan Qunut Nazilah ini.

“Kecualilah ia digunakan ketika kita dilanda penindasan seperti mana isu Palestin diserang Israel ataupun berlaku peperangan yang dahsyat oleh pihak bukan Islam, maka itulah menjadi senjata kita kepada Allah SWT dengan membaca Qunut Nazilah,” katanya.

Abdul Halim berkata demikian pada sidang media mengenai Qunut Nazilah di lobi Bangunan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Bukit Palah, di sini, hari ini.

Menurutnya, apa yang dilakukan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail, menerusi video yang tular di media sosial baru-baru ini menggunakan perkataan ‘bebaskanlah daripada anjing dan sebagainya’ sebagai tidak berakhlak.

“Jadi, saya secara peribadi menasihatkan sahabat saya juga (Zulkifli) supaya minta maaf kerana beliau juga pernah duduk sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka beberapa tahun lalu.

“Saya yakin, tunjukkanlah akhlak terbaik sebagai ilmuwan, tokoh agamawan dan sebagai pemimpin di dalam masyarakat dan kalau dia merasakan ketelanjuran itu disebabkan emosi, tidak ada salahnya meminta maaf,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast