KUALA LUMPUR – Cubaan sekumpulan warga asing yang menyamar sebagai penumpang yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 dekat sini berjaya dikesan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
AKPS dalam kenyataan berkata, seramai 13 warga asing berjaya ditahan semalam oleh Unit Pemantauan AKPS selepas mengesan taktik baharu cubaan bolos pemeriksaan imigresen di KLIA 2.
“Daripada 270 warga asing yang diperiksa, 13 individu ditahan dan ditolak kemasukan ke negara ini melibatkan lapan lelaki dan seorang wanita warga India serta empat lelaki warga Pakistan.
“Beberapa warga India diarahkan menjalani pemeriksaan lanjut di Pejabat Operasi Imigresen dikesan cuba menyamar sebagai penumpang baharu yang baru tiba.
“Mereka dipercayai menukar pakaian di kawasan transit bagi mengelak dikenali dan cuba menyusup masuk semula ke dalam barisan pemeriksaan imigresen seolah-olah baru mendarat,” katanya dalam kenyataaan hari.

Bagaimanapun hasil pemantauan rapi serta tindakan pantas pasukan keselamatan AKPS, kesemua suspek berjaya dikesan dan ditahan sebelum sempat melepasi kaunter masuk imigresen.
“Sebagai langkah pencegahan susulan, AKPS KLIA akan memperkukuh kawalan di kawasan transit melalui peningkatan kekerapan rondaan, pemantauan kamera litar tertutup dan pelaksanaan prosedur pengesanan yang lebih ketat bagi mengelak taktik penyamaran berulang.
“Komuniti KLIA termasuk kakitangan operasi dan pengendali penerbangan diseru bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan melaporkan sebarang tingkah laku atau pergerakan mencurigakan oleh penumpang warga asing.
“Sokongan dan kewaspadaan bersama amat penting dalam memastikan keselamatan dan integriti pintu masuk negara terus terpelihara,” ujar kenyataan itu. – MalaysiaGazette
















