JOHOR BAHRU – Majlis Daerah Johor Bahru (MBJB) tidak akan memperbaharui lesen 7,435 kedai makanan dan restoran di daerah ini jika tahap kebersihan tandas tidak berada pada tahap empat bintang.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata, langkah itu dibuat
selepas MBJB meluluskan kertas kerja pelaksanaan penetapan tahap kebersihan tandas ‘Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) sebagai salah satu syarat lesen perniagaan.
“Kempen ini mula berkuat kuasa pada tahun ini bagi menggalakkan pengusaha premis memastikan tandas mereka sentiasa bersih.
“Untuk permulaan, pelaksanaan syarat ini akan melibatkan semua premis makanan dan restoran sama ada kategori 24 jam atau bukan 24 jam.
“Justeru, semua pengusaha premis makanan atau restoran perlu memastikan tandas premis masing-masing berada di tahap empat bintang dan ke atas untuk memastikan pembaharuan lesen untuk tahun berikutnya layak dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB di sini hari ini.
Mohd Haffiz berkata, MBJB melalui Jabatan Pelesenan akan menyediakan borang senarai semak kebersihan tandas BMW kendiri untuk semua pengusaha lengkapkan sebelum pegawai bertugas membuat semakan ke atas premis masing-masing.
Katanya, jika tanda premis tidak mematuhi kriteria BMW, pengusaha perlu menjalankan kerja-kerja pembersihan atau naik taraf agar tandas premis mencapai tahap tersebut dan seterusnya meneruskan permohonan pembaharuan lesen.
“Tindakan penguatkuasaan juga boleh diambil berdasarkan Undang-undang Kecil dan garis panduan sedia ada yang berkuasa antaranya menggantung lesen.
“Kita berharap syarat tambahan ini berupaya menjadikan kawasan MBJB lebih bersih dan semua pengusaha premis lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan dalam, luar dan persekitaran premis,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















