Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir. -Foto: SUMBER MEDIA SOSIAL

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mendesak pihak berkuasa menyegerakan siasatan kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina dan membawa individu yang terlibat ke muka pengadilan.

Setiausaha Agung parti itu, Ainie Haziqah berkata, dalam masa yang sama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa supaya proaktif dengan strategi lebih ampuh dalam mendepani masalah buli yang semakin membimbangkan.

“Di manakah dasar lebih proaktif negara kita bagi menyekat jenayah buli ini? Adakah kita akan terus-menerus memberi respons reaktif selepas kes berlaku atau kematian terjadi?Kita tidak boleh memberi respons reaktif sahaja setiap kali kes-kes ini terjadi.

Tiada ibu bapa dan keluarga yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah di bawah kerajaan hanya untuk mendapat berita kematian anak mereka,” katanya menerusi kenyataan.

Ainie Haziqah mendakwa siasatan kes kematian Zara Qairina tiada perkembangan selepas dua minggu berlaku, apatah lagi berkaitan suspek yang terlibat.

Tegas beliau, kerajaan patut menangani isu ini secara proaktif dengan menjadikan kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain oleh sekumpulan pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada tahun 2017 sebagai pengajaran.

Ini sangat merisaukan kerana isu buli di sekolah bukanlah kes yang terpencil. Adakah kita belum belajar dari kes arwah Zulfarhan?,” soalnya.

Ujarnya, meskipun KPM ingin memberi ruang terhadap siasatan namun perlu diingat keluarga mangsa berhak mendapatkan keadilan.

Justice delayed is justice denied. Institusi sekolah terutamanya sekolah berasrama sudah lama tercemar dek insiden-insiden buli yang menyebabkan kematian dan cedera parah. Adakah kementerian tiada langkah drastik dan lebih proaktif untuk membanteras buli di sekolah?,” katanya lagi.

Semalam, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menafikan beliau hanya mula mengambil tindakan selepas kes kematian Zara Qairina tular di media sosial.

Beliau menyifatkan tuduhan tersebut sebagai fitnah berat yang sedang berleluasa dan meminta orang ramai supaya menghentikan penyebaran berita tidak sahih tanpa usul periksa.

Zara Qairina ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran bangunan asrama perempuan pada jam 3 pagi pada 16 Julai lalu.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut dan disahkan mengalami kecederaan dalaman yang serius serta koma.

Sehari selepas itu, waris membuat keputusan menghentikan bantuan hayat selepas doktor mengesahkan otak mangsa tiada lagi berfungsi. MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast