Ketua AMK Johor
Faezuddin Mohd Puad

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu melayani cabaran Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membubarkan Parlimen sebaik sahaja Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Naib Ketua AMK Johor, Faezuddin Puad berkata, cabaran bekas Perdana Menteri 24 tahun itu tidak bertanggungjawab dan hanya mencerminkan keghairahan politik peribadi.

“Kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar kini sedang berusaha keras memacu pembangunan negara.

“Cabaran untuk membubarkan Parlimen di tengah-tengah penggal bukan sahaja mengarut, malah berpotensi mencetuskan ketidakstabilan politik dan ekonomi,” katanya yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri keempat itu mencabar Anwar untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya ke-16 (PRU16) dalam masa terdekat.

Dr Mahathir membuat cabaran itu susulan tindakan Perdana Menteri yang mencabar ahli Parlimen pembangkang untuk mengemukakan usul tidak percaya dalam Dewan Rakyat sekiranya Perikatan Nasional (PN) berhasrat untuk menjatuhkan kerajaan.

Faezuddin juga berkata, Dr Mahathir tidak perlu ‘merengek’ di luar Parlimen sedangkan bekas Perdana Menteri itu sendiri gagal mendapat sokongan majoriti rakyat di kerusi Parlimen Langkawi dalam pilihan raya umum lepas.

“Tun, cukuplah. Rakyat telah membuat keputusan. Tun sendiri gagal dapat sokongan majoriti, lebih dasyat hilang deposit. Itu isyarat jelas daripada rakyat, pandanglah ke cermin dan muhasabahlah.

Menurut Faezuddin, cabaran Dr Mahathir boleh menggugat keyakinan pelabur dan menjejaskan kemajuan negara yang sedang dibina secara bersungguh-sungguh oleh kerajaan Madani.

“Pembangkang sering memperlekeh usaha perdana menteri dengan mempertikai angka potensi pelaburan.

“Mana mungkin pelabur mahu datang jika suasana politik negara sentiasa diganggu dengan agenda peribadi segelintir pemimpin yang enggan move on?

“Janganlah kita ulangi peristiwa tukar kerajaan dan tukar Perdana Menteri banyak kali dalam satu penggal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast