KUANTAN – Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) Pahang mengagihkan dividen sebanyak 55 peratus bagi kewangan berakhir tahun 2024 dengan jumlah bayaran RM32.5 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah itu akan diagihkan kepada 1,495 ahlinya bermula hari ini.
Beliau berkata, bagi tahun kewangan 2024, pendapatan keseluruhan KOSMA yang telah diaudit mencatatkan jumlah RM290.79 juta, manakala keuntungan bersih direkodkan sebanyak RM132.77 juta.
“Pada 19 Mac lalu juga, saya telah pun mengumumkan pembayaran dividen unit ladang sebanyak RM5,000 setiap unit untuk diagihkan kepada semua ahlinya bernilai RM23.97 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi KOSMA, Datuk Zamri Mohamad serta barisan Ahli Lembaga Pengarah.
Menurut Wan Rosdy, ia menjadikan jumlah keseluruhan pembayaran dividen unit ladang dan saham KOSMA bagi tahun kewangan 2024 adalah sebanyak RM56.5 juta.
“Dividen itu adalah hasil daripada pengurusan Koperasi yang cekap, efisyen dan pulangan pelaburan yang mampan.
“Kejayaan KOSMA ini tidak datang begitu sahaja, tapi dengan usaha gigih dan konsisten setiap jenteranya.
“KOSMA terus memainkan peranan penting dalam menjana pendapatannya yang memberi impak besar kepada sektor koperasi negeri Pahang dan negara,” tambahnya lagi.
Untuk rekod, pada 19 Mac lalu KOSMA Pahang mengumumkan pendapatan ladang berjumlah RM224.88 juta dengan keuntungan bersih RM134.17 juta.
Ia merupakan jumlah pendapatan tertinggi diperoleh koperasi terbabit dalam tempoh 57 tahun sejak ditubuhkan pada tahun 1967. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















