MELAKA – Pembangkang mempersoalkan tindakan Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Akmal Saleh dan Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil yang lantang bersuara dalam isu Qunut Nazilah namun berdiam diri ketika agama Islam dipersenda sebelum ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof berkata, beliau kecewa kerana dua tokoh berkenaan mengunci mulut ketika penganjuran program kerajaan negeri di hadapan Surau Warisan Dunia, Banda Hilir yang ditutup untuk kerja menaik taraf pada 5 Julai lalu.
“Saya menyelar sikap mufti yang diam membisu apabila surau dipersenda dengan program hiburan, tetapi lantang meminta pihak yang membaca Qunut Nazilah untuk meminta maaf. A Adakah sebab ianya dibaca oleh pemimpin Pas?.
“Dr Akmal pula tak perlulah terasa, tapi kalau dah seperti cacing kepanasan maka kamu sendiri seolah-olah membenarkan dan bersetuju yang pihak kerajaan ini zalim kepada rakyat,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurutnya, kerajaan diharap tidak bermain politk dengan menuduh pihak yang membaca Qunut Nazilah bersalah sedangkan bacaan itu tidak menyebut kepada siapakah ianya ditujukan.
“Tiada salahnya membaca doa itu dan saya mempertahankan tindakan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail dan peserta perhimpunan Turun Anwar membaca doa Qunut Nazilah sebagai senjata orang Islam,” tegasnya.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan Abdul Halim berkata doa Qunut Nazilah tidak sepatutnya ditujukan kepada sesama umat Islam hanya kerana perbalahan politik yang bertentangan dengan adab diajar Nabi SAW.
Menurutnya, bacaan doa itu yang menyasarkan kehancuran pemimpin negara dalam satu perhimpunan baru-baru ini amat tidak berakhlak, tiada nilai ketinggian ilmu untuk dilontarkan kepada seseorang yang sama akidah.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan Zulkifli yang juga sahabatnya, supaya minta maaf dan menunjukkanlah akhlak terbaik sebagai ilmuwan, tokoh agamawan dan pemimpin rakyat.
Dr Akmal pada Selasa lalu turut menegur tindakan segelintir pihak termasuk ahli-ahli politik yang sanggup mendoakan kehancuran terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semata-mata kerana perbezaan politik.
Menurut beliau, walaupun ada yang tidak sehaluan dalam fahaman politik, ia bukan alasan untuk mengabaikan adab dan ajaran Islam dalam berbeza pandangan. – MalaysiaGazette
















