KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mewujudkan sistem pasaran tenaga elektrik lebih inovatif berdasarkan kos sebenar termasuk membabitkan Tenaga Boleh Baharu (TBB).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif tersebut dijangka membuka peluang kepada lebih ramai pemain industri dan meningkatkan daya saing yang sihat dan telus.
“Inisiatif Dana Kemudahan Peralihan Tenaga Negara serta Program Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat akan mempercepatkan pelaburan dalam tenaga hijau.
“Peralihan kepada TBB akan membuka peluang pelaburan dan pertumbuhan yang lebih luas kepada pemain industri tenaga,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, rakyat juga boleh menjana TBB di bawah bawah konsep akses grid terbuka melalui Program Community Renewable Energy Aggregation Mechanism (CREAM).
Beliau menambah, kerajaan menyasarkan peningkatan campuran kapasiti terpasang negara daripada 29 peratus kepada 35 peratus menjelang 2030 dengan pembabitan sektor swasta akan memperkukuh keseluruhan rantaian nilai tenaga mampan negara.
Sementara itu, Anwar berkata, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), battery energy storage system (BESS), grid pintar dan projek sambung tara bekalan elektrik dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia akan membolehkan integrasi tenaga boleh baharu antara wilayah secara lebih efisien.
“Kerajaan juga mempertimbang tenaga nuklear sebagai salah satu sumber tenaga bersih yang berdaya saing dan selamat.
“Pada masa sama, kerajaan akan memperkukuh keterjaminan bekalan tenaga sedia ada melalui pembinaan Kompleks Terminal Penggasan Semula Ketiga di Lumut, Perak,” katanya.
Dalam pada itu katanya, kerajaan komited mempercepat pembangunan industri unsur nadir bumi (REE) dengan kerjasama kerajaan negeri bagi memantapkan ekosistem dan mempergiat aktiviti sepanjang rantaian nilai.- MalaysiaGazette















